Apung harga siling beras tempatan


Apung harga siling beras tempatan

28 Februari 2025 07:00am
Masa membaca: 2 minit

Selasa lalu, Syed Abu Hussin menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini. (Gambar kecil: Muhammad Firdaus) Gambar hiasan

SHAH ALAM - Mengapungkan harga siling beras tempatan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan berlakunya isu ada pihak yang mengambil kesempatan mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import.

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, apabila harga beras tempatan boleh bersaing dengan beras import, hampir tiada keperluan untuk pengilang menipu dalam pembungkusan.

“Pada saya apa yang berlaku kini adalah disebabkan survival mechanism untuk mereka yang terlibat dalam rangkaian bekalan padi kerana margin keuntungan bagi beras tempatan adalah terlalu kecil.

“Saya juga melihat tidak perlu adanya peraturan baharu untuk mengatasi masalah ini kerana peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai. Apungkan harga siling beras tempatan adalah langkah yang paling utama.

“Mekanisme yang sedia ada dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga sudah cukup untuk mengatasi isu ini. Tidak perlu untuk diwujudkan jawatankuasa khas atau suruhanjaya siasatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang pendedahan yang dibuat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bahawa sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).


Kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024, sekali gus menokhtahkan spekulasi bahawa beras putih tempatan telah dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran.

Tambah Muhammad Firdaus, pemeriksaan berkala seperti yang dijalankan oleh MARDI itu boleh dijadikan sebagai amalan berterusan untuk memastikan ketulenan beras yang berada di pasaran.

Pada masa sama, beliau berkata bahawa pensampelan rawak termasuk di kilang dan pasaran perlu dijalankan.

“Wujud atau tidak kartel perlu dibuktikan bukan sekadar dakwaan. Perlu diingat pengilang yang didakwa sebagai kartel ini memberi khidmat yang penting dalam rantaian bekalan beras,” jelasnya.

Ulasan