Boleh boikot syarikat dikaitkan Zionis jika tepati parameter - Pensyarah agama
04 Februari 2025 11:41pm
Masa membaca: 3 minit
Ahmad Sufian (kanan) mengatakan sesuatu semasa sesi Wacana Sinar edisi 472 bertajuk Halal & Boikot: Antara Sederhana dengan ekstrem yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
SHAH ALAM - Umat Islam di Malaysia tidak boleh memboikot sesuatu produk atau perkhidmatan disediakan syarikat-syarikat tertentu yang dikaitkan dengan rejim Zionis hanya berpandukan emosi semata-mata kerana ia dibimbangi akan merugikan negara.
Sebaliknya, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah menegaskan, Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menegaskan umat Islam dibenarkan memboikot sesuatu produk, perkhidmatan atau syarikat berkaitan dengan rejim zalim berkenaan berdasarkan parameter tertentu.
Ahmad Sufian berkata, antara parameter berkenaan adalah keperluan memastikan produk, perkhidmatan atau syarikat berkenaan terbukti memberi sumbangan dana atau menyokong kezaliman rejim Zionis yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Ahmad Sufian menegaskan umat Islam boleh boikot produk berkaitan Zionis mengikut parameter tertentu. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
"Apabila nak boikot kita kena pastikan produk atau perkhidmatan berkenaan benar-benar milik Yahudi... Ini penting kerana sebarang tindakan boikot akan membawa kepada kesan ekonomi dan orang diboikot.
"Kita juga kena cari sebab dulu kenapa kita boikot? Pertama apa tujuan boikot sama ada hanya untuk melepaskan geram terhadap Yahudi atau (tidak sedar akhirnya) terkena kawan kita sendiri?
"Sepak bola masuk gol lawan atau gol sendiri? Sebab itulah saya sering sebut jika kita tersalah boikot, ia akan menimbulkan situasi 'penyerang akan menyumbat gol sendiri' sekali gus merugikan masyarakat Malaysia itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar bertajuk: 'Halal & Boikot: Antara Sederhana dengan Ekstrem' yang disiarkan secara langsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi dua panelis lain iaitu Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff dan Pengerusi Majlis Syariah Pertubuhan IKRAM Malaysia, Burhanuddin Lukman.
Dalam pada itu, Ahmad Sufian berkata, ramai ulama di luar negara terutama dari Arab Saudi melarang individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan tindakan boikot terhadap produk berkaitan Israel kecuali atas arahan kerajaan atau negara.
"Sebabnya apabila ada tindakan boikot maka sudah pasti ada pihak bakal terkesan...Jadi siapa nak bantu individu terkesan terbabit? Kita bolehlah jadi kaki boikot tetapi tiba-tiba ada kawan hilang pekerjaan... kita boleh cakap, carilah kerja lain kerana tidak kena pada diri sendiri atau saudara terdekat.
"Bagaimanapun, jika negara laksana boikot, mungkin lebih terancang. Misalnya sekiranya ada individu terkesan, maka kerajaan boleh memberikan subsidi atau bantuan kewangan sementara mereka mencari kerja lain," katanya.
Perkara berkenaan ujarnya, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah akan melaksanakan hajatnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Terdahulu, Burhanuddin meminta umat Islam supaya berhati-hati ketika menjamu selera di premis restoran atau kedai makan yang mempamerkan ayat al-Quran atau menggaji pekerja beragama Islam jika tidak memiliki sijil halal diiktiraf Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan disediakan orang Islam.
Burhanuddin Lukman. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
"Kewajipan umat Islam adalah memastikan setiap makanan dimakan adalah halal...Kalau ada sijil halal dan kita pasti makanan itu disediakan oleh orang Islam, maka dalam syariat apa-apa disediakan oleh orang Islam adalah halal.
"Sebab itulah pihak pemerintah terutamanya Jakim mewujudkan logo halal bagi memastikan umat Islam tidak keliru sama ada makanan berkenaan disediakan umat Islam atau orang kafir.
"Dengan adanya logo halal Jakim umat Islam boleh memakan produk atau makanan berkenaan tanpa was-was," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan