Caruman KWSP pekerja asing patut dilaksanakan




Caruman KWSP pekerja asing patut dilaksanakan
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
5 Februari 2025, 7:20 am

Jika ramai yang mengeluh kerana terpaksa menanggung pelbagai kenaikan kos sara hidup, isu sama turut dirasai oleh rakyat asing yang datang bekerja di negara ini.

Ini kerana rakyat asing terlibat berkongsi hampir semua barang keperluan yang dimakan dan perkhidmatan yang diguna oleh rakyat tempatan.

Dahulu warga asing yang datang bekerja di negara ini memang amat berhemah dan berjimat dalam soal berbelanja.

Makan tidak bermewah, gaji yang diperoleh memang dikumpul semata-mata untuk dibawa pulang ke negara asal atau setiap kali gaji diperoleh pada setiap bulan, sebahagian besarnya dihantar ke kampung untuk kegunaan keluarga mereka.

Lauk sedikit tetapi dikongsi ramai, makan nasi de­ngan kuah sahaja adalah perkara biasa ketika generasi awal warga asing datang berkelana ke negara ini.

Namun kini gaya hidup warga asing terlibat termasuk yang dalam kategori Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sudah berubah. Belanja makan mereka bertambah kerana lebih banyak makan di luar dan mungkin sudah tidak ada lagi yang menikmati nasi dengan kuah sup bawang sahaja.


Rokok atau vape juga sudah menjadi perkara wajib malah setiap minggu mereka akan keluar ke bandar untuk bersiar-siar, bertemu rakan dan membeli-belah pelbagai benda, pakaian baharu dan juga barangan perhiasan diri.

Mereka juga mahu bercuti di kawasan tumpuan pelancong seperti di pantai-pantai, hutan lipur dan kawasan peranginan yang cuacanya sedikit sejuk.

Perubahan gaya hidup itu bermakna kos sara hi­dup mereka juga bertambah. Ini ditambah lagi dengan peningkatan harga barang dan perkhidmatan kesan daripada pandemik Covid-19, kejatuhan nilai ringgit, inflasi negara luar dan penstrukturan pelbagai jenis subsidi.

Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia terdapat 3.4 juta warga asing di negara ini pada tahun lalu. Pekerja asing ini boleh dikatakan menjadi sebahagian daripada penggerak ekonomi negara melalui kerja yang mereka lakukan di kilang, ladang, kebun dan dalam sektor pembinaan.

Selain sumbangan tenaga kerja, satu perkara yang patut difikirkan adalah soal keselamatan sosial mereka yang kukuh lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup dan pelbagai cabaran baharu hari ini.

Sebab itulah langkah kerajaan untuk mewajibkan pekerja asing mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun cuma dua peratus, ia adalah satu keputusan yang tepat.

Selain menjadi simpanan untuk warga asing terlibat, wang caruman tersebut boleh digunakan bagi tujuan pelaburan dan hasilnya dapat menampung keperluan keselamatan sosial mereka serta pelbagai subsidi yang dinikmati. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

Ulasan