Ekonomi kebajikan rakyat, peruntukan beri pembangkang


Ekonomi kebajikan rakyat, peruntukan beri pembangkang
February 18, 2025

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara yang semakin meningkat tidak memberi impak adil kepada rakyat kerana tidak dapat dinikmati mereka, demikian kata Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

“Walaupun ekonomi kita meningkat, mata wang kita naik, tetapi tidak dirasai oleh rakyat. Mereka terus menghadapi masalah inflasi, pengangguran, dan ketidakseimbangan kekayaan yang berpusing di kalangan segelintir pihak,” ujarnya.

Beliau yang juga Presiden PAS mengemukakan demikian ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Tuan Guru turut menyentuh dan memberi penekanan kepada kerajaan dan semua pihak bahawa kekayaan sebanyak-banyak pemilikan dalam Islam adalah tidak salah, namun ia perlu diperoleh dengan cara yang halal dan baik.

“Kaya sebanyak-banyaknya boleh, tetapi kaya yang halal, kaya yang baik, kaya yang bersyukur. Bukan kaya dengan rasuah atau penipuan,” katanya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pentingnya kekayaan yang diperoleh untuk kembali kepada masyarakat, berasaskan keadilan dan kebajikan rakyat.

Beliau juga dalam perbahasannya itu mengingatkan kerajaan betapa perlunya bersikap adil dalam memberikan peruntukan secara sama rata termasuk kepada Ahli Dewan daripada parti pembangkang.

Tegas beliau, sikap sedemikian adalah menepati dan seiring dengan konsep adil dalam Islam, apatah lagi selepas wakil rakyat berkenaan sudah dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya yang sah.

“Saya nak minta supaya keadilan berlaku dan beri peruntukan pada ahli-ahli pembangkang kerana demokrasi ini bukan sahaja untuk kerajaan, tetapi untuk pembangkang.

“Bila lepas pilihan raya, tak kira siapa kerajaan dan pembangkang, mesti diberikan peruntukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025

Ulasan