Genting catat kerugian sukuan pertama dalam tempoh dua tahun


Genting catat kerugian sukuan pertama dalam tempoh dua tahun
Oleh Wartawan BH - Februari 27, 2025 @ 11:45pm
KUALA LUMPUR: Genting Bhd mencatatkan kerugian suku kewangan pertama dalam tempoh dua tahun berikutan kos kewangan yang lebih tinggi dan bahagian kerugian dalam usaha sama serta syarikat bersekutu.

Genting merekodkan kerugian bersih RM169.39 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 202 berbanding keuntungan bersih RM150.99 juta setahun sebelumnya, demikian menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Kerugian sesahamnya meningkat pada 4.40 sen, berbanding pendapatan sesaham 3.9 sen sebelumnya.

Ini merupakan kerugian suku pertama Genting sejak suku keempat tahun kewangan 2022, apabila ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM168.72 juta.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku keempat tahun kewangan 2024 lebih rendah kepada RM1.68 bilion, susut 27 peratus daripada RM2.29 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil suku tahunan susut 5.3 peratus kepada RM6.88 bilion daripada RM7.27 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2023, terutamanya disebabkan oleh pengurangan sumbangan daripada bahagian riadah dan hospitaliti.


Pengukuhan ringgit berbanding mata wang Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura turut menyumbang kepada penurunan hasil dan pelarasan EBITDA, kata Genting.

Ia mengisytiharkan dividen akhir lima sen sesaham, berbanding sembilan sen setahun sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah pembayaran untuk tahun kewangan 2024 kepada 11 sen sesaham, lebih rendah daripada 15 sen yang dibayar pada tahun kewangan 2023.

Ulasan