Jangan sampai taman tema jadi lokasi ngeri



Jangan sampai taman tema jadi lokasi ngeri
04 Februari 2025 09:30am
Masa membaca: 2 minit

Seorang pengunjung cedera tertimpa pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini.

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, isu keselamatan di taman tema khasnya membabitkan riadah air mendapat perhatian semua pihak.

Baru-baru ini, insiden sebuah pelampung terjatuh dari gelongsor air kaca di sebuah taman tema di Shah Alam sehingga mencederakan seorang wanita cukup membimbangkan semua.

Bukan setakat itu, beberapa kes lemas di taman tema air di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka turut mencetuskan persoalan besar mengenai tahap keselamatan di tempat-tempat riadah berkenaan.

Benar, taman tema adalah tarikan utama bagi sektor pelancongan negara, sekali gus menarik jutaan pengunjung seban tahun. Namun, di sebalik populariti itu, aspek keselamatan sering kali menjadi isu yang berulang.

Pihak pengurusan taman tema wajib memastikan semua kemudahan dan permainan mematuhi piawaian keselamatan yang ketat serta melalui pemeriksaan berkala. Namun, insiden yang berlaku menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan dalam pemantauan dan pematuhan peraturan.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada insiden itu, antaranya kecuaian dalam penyelenggaraan, kekurangan petugas terlatih dan tahap pengawasan yang lemah terhadap pengunjung khususnya kanak-kanak.

Misalnya untuk kes lemas, kawalan keselamatan lebih ketat di sekitar kawasan kolam serta kehadiran petugas penyelamat yang mencukupi boleh mengelakkan kejadian tragis.

Bagi menangani isu ini, beberapa langkah perlu diambil seperti kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Lesen operasi hanya perlu diberikan kepada pengendali yang mematuhi standard keselamatan tertinggi.

Pihak pengurusan taman tema juga perlu meningkatkan latihan kepada kakitangan terutama penyelamat dan petugas keselamatan. Ia bagi memastikan mereka bersedia menghadapi sebarang kecemasan.

Selain itu, kesedaran dalam kalangan pengunjung juga perlu dipertingkatkan. Ibu bapa khasnya perlu lebih peka terhadap keselamatan anak-anak mereka, manakala taman tema boleh menyediakan taklimat keselamatan sebelum pengunjung menggunakan sebarang kemudahan.

Justeru, isu keselamatan di taman tema tidak boleh dipandang ringan. Langkah pencegahan dan pengawasan ketat harus menjadi keutamaan bagi memastikan taman tema kekal sebagai tempat rekreasi yang selamat untuk semua.

Ulasan