Kartel padi, beras: ‘Kita tunggu minggu hadapan’
February 4, 2025
Share
Dato' Ahmad Yahaya
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan bekalan beras tempatan terus menjadi tanda tanya apabila pengeluaran padi negara masih stabil namun bekalan di pasaran tetap tidak mencukupi.
Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), mendakwa kerajaan masih gagal memberikan penjelasan tuntas walaupun masalah itu telah berlarutan selama setahun.
“Sejujurnya, saya tidak pasti mengapa kementerian gagal menyediakan suatu penjelasan yang sebenar berkaitan dengan isu ini selepas setahun isu ini berlangsung.
“Kalau difikirkan secara logik, ketiadaan beras tempatan ini menunjukkan pesawah tempatan macam sudah berhenti memerah keringat untuk menanam padi.
“Namun realitinya petani pada hari ini masih gigih memerah keringat, saban hari sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menanggung kerugian kerana kos yang tinggi, tambahan pula dengan bencana alam yang melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Katanya, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan negeri Kedah sahaja mengusahakan 109,817 hektar sawah dengan pengeluaran mencecah 747,193 tan metrik setahun, namun, beras tempatan tetap sukar didapati di pasaran.
“Ertinya ada data pengeluaran padi tetapi beras tempatan tiada di pasaran. Jadi persoalan ke mana perginya hasil padi ini? Mengapa begitu sukar kementerian menyelidiki isu ini secara mendalam? Saya tidak faham apa kekangan utama yang dihadapi oleh pihak kementerian?
“Persoalannya juga di sini berapa lama lagi masa yang perlu untuk diambil oleh kementerian untuk membawa penyelesaiannya ke hadapan Kerajaan Negeri Kedah khususnya tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini kerana kuasa untuk mengurus padi dan beras sepenuhnya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” jelasnya.
Selain isu bekalan, kata beliau, pesawah juga dihimpit dengan kenaikan kos pengeluaran, termasuk harga benih padi yang kini mencecah RM58 bagi 20 kilogram (kg), kos membajak yang meningkat akibat penyasaran subsidi diesel, serta harga kawalan beras tempatan RM2.60 sekilogram yang tidak disemak semula sejak sedekad lalu.
“Saya difahamkan harga RM2.60 sekilogram ini adalah ketika harga belian padi RM950 per tan metrik, ertinya harga semasa belian padi ini tidak berpadanan dengan harga kawalan yang dinyatakan.
“Oleh sebab itu, saya ingin tegaskan bahawa isu ini perlu ditangani dan diperhalusi secara mendalam oleh kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, masalah itu turut memberi kesan kepada pengusaha kilang padi bumiputera, dengan beberapa kilang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos operasi.
“Masalah padi dan beras ini bukan sahaja menghimpit para pesawah. Bahkan, kilang padi bumiputera juga terlibat yang beroperasi selama 57 tahun terpaksa ditutup ekoran tidak lagi mampu menampung peningkatan kos.
“Segala permasalahan industri padi dan beras yang dibangkitkan. Penyudah rakyat dan seluruh negara dapat menyaksikan rebahnya sebuah kilang bumiputera sehari dua ini.
“Bagaimana pengilang mahu kekal kukuh Kalau mereka terpaksa menjual harga padi dengan harga yang tidak lagi kompetitif,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa beras import disalut semula sebagai beras tempatan turut mencetuskan kebimbangan dalam industri.
“Dakwaan ada pengilang menyalin kulit bungkusan import ini bukan suatu cerita kosong. Ia cerita realiti.
“Saya berpandangan isu-isu dalam industri padi dan beras negara ini semakin parah dan tidak terkawal. Saya tidak pasti sejauh mana kesungguhan menteri menyelesaikan satu demi satu isu yang sudah berlarutan, bahkan semakin membarah ini. Begitu juga mengenai masalah kartel.
“Apakah kartel padi dan beras negara ini sedia untuk didedah dan diambil tindakan oleh kerajaan sebagaimana kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tahun lalu?
“Jadi persoalannya, sampai bila kita terpaksa menanti? Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan respons pada pagi tadi menyatakan bahawa menteri akan memberi jawapan pada minggu hadapan, kita tunggu minggu hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan