

Berita
KATA MP | Tanah bumiputera: Apa pendekatan sebenar Pemuda PAS?
Diterbitkan: Feb 27, 2025 9:00 PMSaya mengambil maklum dan mengalu-alukan pandangan timbalan ketua Pemuda PAS mengenai cadangan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dijangka akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada Jun nanti.
Sebagai seorang yang sentiasa mempertahankan hak berhimpun dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, saya menghormati keputusan Pemuda PAS dalam hal ini.
Namun, saya ingin mengajak timbalan ketua Pemuda PAS untuk memperincikan isu ini dengan lebih mendalam dan berbincang secara menyeluruh bersama ketua dewan itu serta anggota parlimen Alor Setar, yang telah menerima taklimat rasmi mengenai RUU ini dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.
Bahkan, perdana menteri juga telah memberikan penjelasan lengkap yang menjawab segala dakwaan tidak berasas berkenaan RUU ini.
Jaminan hak pemilikan
Perdana menteri dengan jelas menegaskan bahawa prinsip utama dalam RUU PSB ini ialah mengekalkan hak pemilikan tanah seperti yang termaktub dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Pemilik tanah bumiputera di kawasan pinggiran bandar akan kekal di tapak atau lot asal mereka tanpa sebarang pengusiran oleh mana-mana pihak.
Ini bermakna pemilikan asal tidak akan berubah dari segi komposisi etnik, pemilikan tanah rizab Melayu, atau status hak milik tanah tersebut.
Namun, sekiranya masih terdapat kekeliruan, saya mencadangkan Pemuda PAS mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada mantan menteri yang pernah menguruskan hal berkaitan semasa pentadbiran Perikatan Nasional.
Misalnya, Annuar Musa, yang merupakan mantan menteri Wilayah Persekutuan dan kini AJK PAS, atau Zuraida Kamaruddin, mantan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Kedua-dua pemimpin ini pernah menerajui dasar berkaitan pembangunan bandar sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah.
Pendekatan alternatif
Saya memahami kebimbangan Pemuda PAS dalam mempertahankan hak serta pemilikan tanah bumiputera, kerana saya sendiri berkongsi kebimbangan yang sama.
Namun, saya ingin menegaskan bahawa pendekatan kita dalam memahami RUU ini mungkin berbeza.
Pada prinsipnya, saya bersetuju bahawa terdapat keperluan mendesak untuk menggubal RUU PSB bagi menangani isu bangunan usang, terbengkalai, dan tidak selamat didiami.
Namun, butiran mengenai kaedah pelaksanaan dan prosedur perlu diperhalusi secara mendalam agar ia tidak bercanggah dengan prinsip utama RUU ini.
Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Pemuda PAS:
1. Jika mereka menolak sepenuhnya pelaksanaan RUU PSB, apakah cadangan alternatif mereka untuk menangani masalah bangunan usang dan terbengkalai ini?
2. Adakah Pemuda PAS bersedia untuk mengemukakan satu RUU lain yang lebih baik untuk membantu masyarakat bumiputera di kawasan pinggiran bandar?
Saya bersedia untuk mendengar cadangan yang lebih konstruktif.
Kg Melayu tradisi: Reformasi lebih mendasar
Selain membantah RUU PSB, saya ingin mengajak Pemuda PAS untuk turut memberikan perhatian kepada isu tanah kampung Melayu tradisi dan kampung tradisional.
Pemuda PAS perlu menjadi kuasa penggerak utama dalam mencari penyelesaian kepada isu pemilikan tanah yang berstatus "geran kongsi", pertindihan hak milik, kekangan sumber kewangan untuk bina semula, serta tanah terbiar yang tidak mempunyai pewaris.
Isu ini bukan sekadar diwarisi dari generasi ke generasi, tetapi memerlukan satu kemahuan politik yang kuat untuk ditangani.
Cadangan seperti pembangunan tanah secara bersepakat dan penubuhan entiti khas pemilik tanah sering disebut sebagai penyelesaian.
Namun, realitinya, pendekatan ini telah lama diamalkan, tetapi masalah pemilikan tanah bumiputera masih belum selesai secara menyeluruh.
Oleh itu, saya ingin mencabar Pemuda PAS:
"Jika benar Pemuda PAS mahu mempertahankan tanah bumiputera, apakah reformasi yang lebih berkesan yang mereka cadangkan?
“Bagaimana mereka mahu memastikan pemilikan tanah bumiputera bukan sahaja terjamin tetapi turut memberikan nilai ekonomi yang lebih besar kepada masyarakat?"
Kita perlu melihat ke hadapan dengan pendekatan yang lebih strategik dan menyeluruh, bukan sekadar mengekalkan kaedah lama yang belum membuahkan hasil yang signifikan.
Saya berharap agar Pemuda PAS Malaysia, selain merancang untuk berhimpun, dapat mempertimbangkan cadangan ini secara serius.
Saya juga percaya bahawa dalam kalangan kepimpinan Pemuda PAS sendiri, pasti ada banyak idea bernas dan membina yang boleh diketengahkan untuk menangani isu tanah bumiputera ini.
Akhir sekali, selamat berhimpun, dan semoga permasalahan tanah bumiputera di kampung-kampung tradisi mendapat penyelesaian yang sewajarnya.
TAN KAR HING ialah anggota parlimen Gopeng.
Ulasan
Catat Ulasan