Kelantan perlu peruntukan pusat untuk atasi masalah paip lama



Berita
Kelantan perlu peruntukan pusat untuk atasi masalah paip lama

Diterbitkan: Feb 27, 2025 8:25 PM
Dikemaskini: 8:25 PM

Proses penggantian paip lama di Kelantan memerlukan peruntukan daripada kerajaan persekutuan berikutan kos tinggi untuk menggantikan paip uzur yang berusia puluhan tahun.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dr Izani Husin, berkata terdapat 4,000km paip lama berusia 40 tahun yang perlu diganti dengan anggaran kos RM1 juta bagi setiap kilometer.

Katanya kerajaan negeri hanya mampu menyiapkan sekitar 150km setahun dan ia juga bergantung kepada kemampuan kewangan.

“Projek penggantian paip lama sedang dijalankan melalui peruntukan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM174.86 juta, melibatkan penggantian 226km paip baru.

“Namun, jumlah ini masih belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah bekalan air secara menyeluruh,” katanya selepas merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok, Panji di Kota Bharu hari ini.

Izani berkata Kelantan melalui Air Kelantan Sdn Bhd telah menyenaraikan projek penggantian paip dalam dua pakej utama.

"Pakej satu melibatkan 103km paip di kawasan seperti Desa Darul Naim, Tanjung Mas dan Bandar Kuala Krai, manakala pakej dua pula melibatkan 123km paip meliputi kawasan seperti Taman Uda Murni, Kedai Buloh dan Pekan Kok Lanas.

“Kelantan menghadapi cabaran besar dalam sistem bekalan air akibat paip usang, kebocoran dan kadar air tidak berhasil yang tinggi, menyebabkan gangguan bekalan kepada penduduk,” katanya.

Izani berkata campur tangan kerajaan persekutuan dalam bentuk geran khas atau tambahan peruntukan amat diperlukan bagi mempercepatkan penggantian paip serta meningkatkan sistem bekalan air.

Sementara itu, dia berkata LRA Kampung Telok yang beroperasi dijangka mampu membekalkan 30 juta liter sehari kepada kira-kira 13,000 akaun pengguna di sekitar Pengkalan Chepa dan Pantai Cahaya Bulan.

- Bernama

Ulasan