Kempen PRU15: Mana bukti PAS terima dana judi?


Kempen PRU15: Mana bukti PAS terima dana judi?
February 4, 2025

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mencabar pihak tertentu suaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, menerima dana judi dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegasnya, tuduhan tersebut telah berlarutan selama dua tahun tanpa sebarang bukti kukuh dikemukakan oleh pihak kerajaan.

“Saya ingin ulangi sekali lagi bahawa fitnah yang sangat-sangat kami rasai ialah apabila PAS atau Perikatan Nasional dikatakan menerima dana judi. Sehingga ke hari ini tidak ada bukti yang dapat dikemukakan.

“Berkali-kali saya bangkitkan dalam dewan ini, saya tanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), mana buktinya? Jawapannya, dalam siasatan. Saya tanya pula dalam soalan bertulis, jawapannya tetap sama, dalam siasatan.

“Sampai ke hari ini, tidak ada satu pun bukti yang dikemukakan. Sampai bila mahu biarkan fitnah ini berterusan?” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa kerajaan perlu bersikap adil dan bertanggungjawab dalam membuat sebarang tuduhan, lebih-lebih lagi jika melibatkan maruah sebuah parti politik yang mewakili rakyat.

“Kalau betul ada bukti, sila kemukakan. Jika tiada, tarik balik tuduhan tersebut dan hentikan fitnah ini,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan pihak kerajaan supaya tidak menggunakan taktik fitnah dan tohmahan sebagai senjata politik untuk melemahkan pihak lawan. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

Ulasan