Kerajaan Negeri Terengganu sokong fatwa MAINJ


Kerajaan Negeri Terengganu sokong fatwa MAINJ

Larang umat Islam hadiri ritual keagamaan bukan-Islam
February 17, 2025


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang melarang umat Islam daripada menghadiri sebarang ritual keagamaan bukan-Islam.

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keputusan tersebut selaras dengan prinsip akidah Islam yang menegaskan kepentingan menjaga kesucian agama serta mengelakkan kekeliruan dalam kefahaman umat Islam.

“Fatwa ini juga berlandaskan hukum syarak dan selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Tambahan pula fatwa ini turut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Februari 2023,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri itu.

Menurutnya, garis panduan seperti itu penting bagi memastikan umat Islam di negara ini terus berpegang teguh kepada ajaran Islam tanpa terpengaruh atau terkeliru dengan amalan keagamaan lain.

“Walaupun Islam menggalakkan hubungan baik dan toleransi antara kaum serta agama, namun ia tidak bermaksud umat Islam boleh melibatkan diri dalam mana-mana upacara atau ritual keagamaan yang bercanggah dengan prinsip tauhid.

“Perkara ini juga telah ditegaskan oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron bahawa garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan-Islam penting bukan sahaja menjaga seseorang Muslim, tetapi perlu dalam menjaga keharmonian negara.

“Justeru, Kerajaan Terengganu akan terus memperkukuh dasar-dasar pemerkasaan syariah serta meningkatkan usaha pendidikan dan pemahaman masyarakat terhadap isu-isu berkaitan akidah dan syariah Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

Ulasan