Kerajaan perlu lebih berani, tegas dengan dasar luar
February 17, 2025
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersikap tegas dan menghentikan semua bentuk perdagangan dengan syarikat yang jelas menyokong Israel.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) juga berkata, negara perlu meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin serta menggunakan kedudukan Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Saya ingin meminta kerajaan lebih berani dan tegas dengan dasar luar negara supaya kita dapat memberi sokongan yang jelas kepada umat Islam yang sedang ditindas.
“Ini adalah satu cabaran kepada kedaulatan Malaysia di mana Islam adalah agama Persekutuan. Oleh itu kita perlu menolak segala bentuk tekanan antarabangsa yang bertentangan dengan nilai Islam dan mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai satu institusi yang menjaga kepentingan Islam,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambahnya, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu lebih tegas menentang kezaliman Israel dan mengukuhkan solidariti umat Islam dalam mengukuhkan hubungan strategik dengan negara Islam bagi mengimbangi pengaruh Barat.
“Saya menentang keras suara-suara yang cuba memperlekehkan umat Islam ataupun untuk menggugat kedaulatan Islam di Malaysia.
“Jadi saya ingin menegaskan supaya Malaysia tidak tunduk kepada desakan CEDAR di mana dalam laporan tahun 2024 menuntut supaya mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang terang-terang bercanggah dengan prinsip Islam dan perlembagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan