Kutuk tindakan lelaki berpakaian seperti wanita di AJL39


Kutuk tindakan lelaki berpakaian seperti wanita di AJL39
February 18, 2025

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengecam tindakan beberapa individu lelaki yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai Islam, malah boleh memberi kesan negatif kepada generasi muda.

“Tindakan tersebut boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Terengganu sebagai negeri yang menegakkan syariat Islam mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah memperuntukkan bahawa perbuatan lelaki berpakaian dan berlagak seperti wanita, serta wanita berpakaian dan berlagak seperti lelaki, adalah satu kesalahan.

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang termaktub dalam enakmen berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan segelintir pempengaruh lelaki memakai busana yang menyerupai busana wanita dan menggayakannya dengan bangga di acara red carpet AJL39.

Aksi-aksi pempengaruh berkenaan telah menimbulkan rasa tidak puas hati netizen yang menganggap perkara ini tidak patut dinormalisasikan tambahan pula ia dilarang dari sisi agama. – HARAKAHDAILY 18/2/2025

Ulasan