Malaysia sukar boikot, terpaksa jaga hubungan diplomatik - Burhanuddin
05 Februari 2025 12:28am
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia sukar menerajui tindakan memboikot produk atau perkhidmatan dikaitkan rejim Zionis kerana perlu menjaga hubungan diplomatik serta perdagangan dua hala dengan negara-negara lain.
Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Syariah Pertubuhan IKRAM Malaysia, Burhanuddin Lukman menegaskan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu perlu memainkan peranan penting dalam memboikot produk atau perkhidmatan dari syarikat berkaitan Israel.
Burhanuddin berkata, perkara itu bukan bermakna rakyat dan NGO di Malaysia mengambil langkah berbeza dengan dasar kerajaan berbanding di negara Arab Saudi atau Mesir.
"Oleh itu, saya berpandangan di Malaysia sepatutnya memainkan peranan besar dalam memboikot, menegakkan keadilan serta menentang kezaliman rejim Zionis terhadap umat Islam di Palestin.
"Bagaimanapun, sebagaimana firman dalam al-Quran sebagai orang beriman kita perlu menjadi orang kuat menegakkan kebenaran demi ALLAH SWT serta menjadi saksi ke atas kezaliman. Namun jangan sekali-kali kerana kebencian terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil dan berlaku zalim.
"Kita nak boikot kena ada parameternya seperti ditetapkan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) baru-baru ini. Kita memang patut marah kerana rejim Zionis sudah membunuh hampir 50,000 rakyat Palestin yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk: 'Halal & Boikot: Antara Sederhana dengan Ekstrem' yang disiarkan secara langsung bertempat di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program dihoskan Ismail Adnan itu turut dibarisi dua panelis lain iaitu Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff serta Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah.
Bagaimanapun, Burhanuddin berkata, ALLAH SWT memberikan peringatan supaya umat Islam tidak mengambil tindakan melulu memboikot produk atau perkhidmatan berkaitan dengan rejim Zionis.
Ulasan
Catat Ulasan