
Minta kerajaan kaji semula Peraturan Dewan Rakyat
February 18, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji semula Peraturan Dewan bagi memberi jaminan terhadap hak kebebasan bersuara khususnya dari kalangan Ahli Dewan Rakyat dari bahagian pembangkang.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, banyak peraturan telah dimanipulasi oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) bagi menganggu ucapan serta perbahasan wakil pembangkang.
Malah beliau berkata, tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan konsep amar makruf nahi mungkar (suruh buat baik, cegah perkara jahat) selain bercanggah prinsip demokrasi.
“Kemudian mengenai kebebasan bersuara, saya minta peraturan dewan ini dikaji semula, banyak ‘standing order’, di samping yang tertulis, yang dibuat secara spontan bila pembangkang tegur kerajaan.
“Nak marah, buat peraturan tak boleh bercakap. Ini bercanggah dengan amar makruf nahi mungkar, bercanggah prinsip demokrasi, tidak boleh. Kecuali kata lucah, kesat, ini takpa (disekat),” katanya.
Berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini, Presiden PAS itu turut membangkitkan persoalan mengenai projek pembangunan yang merugikan rakyat.
Beliau berkata, sehingga kini masih wujud lagi projek penambakan laut sepanjang pantai di Terengganu yang menggunakan pasir dan sering berubah setiap kali tiba musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menurut beliau lagi, sepatutnya Kerajaan Madani perlu melakukan perubahan dengan menjadikan pengalaman negara-negara lain menangani kejadian hakisan pantai akibat ombak yang besar.
“Terengganu masalah hakisan pantai kerana tambak laut. Tambak laut dengan pasir, guna pasir sampai 40 tahun. Tahun ini angkut pasir, mari ombak musim tengkujuh hilang. Tahun depan ambil pasir pula.
“Saya pergi ke Thailand, ke Eropah, dia boleh pecah ombak Lautan Atlantik, Pasifik, mereka boleh buat. Mengapa kita jadi sia-sia? Kerana nak bagi projek kepada kawan-kawan. Ini masalah kroni,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan