Pecat pengadil keterlaluan


Pecat pengadil keterlaluan
Subkhiddin Mohd Salleh
Oleh AMINNUDIN LOKMAN HAKIM
18 Februari 2025, 8:30 am

PETALING JAYA: Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan tindakan pemecatan seorang pengadil tempatan sebagai keterlaluan.

Katanya, keputusan drastik seperti itu tidak sepatutnya dilakukan tanpa perbincangan serta pendekatan lebih berhemah, apatah lagi individu terbabit telah berkhidmat lebih sedekad dalam arena pengadilan bola sepak negara.

“Bola sepak ini milik semua, bukan seorang dua. Jadi, suara semua pihak perlu didengar. Jangan hanya berdiam diri dan menutup telinga terhadap pandangan orang bawahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan memecat seseorang pengadil tanpa ruang perbincangan bukan sahaja menjejaskan maruah individu terbabit, malah turut memberi kesan kepada kehidupan peribadi dan profesionalnya.

“Kita harus ingat, pengadil bukan hanya bertugas di padang, mereka juga mempunyai pekerjaan tetap. Pemecatan ini boleh menjejaskan reputasi mereka di tempat kerja dan dalam masyarakat,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan agar badan induk bola sepak negara itu mengamalkan pendekatan lebih profesional dalam menangani isu prestasi pengadil, termasuk memberikan mereka peluang untuk memperbaiki kelemahan melalui latihan serta bimbingan berterusan.

Dalam perkembangan sama, Subkhiddin menegaskan bahawa pemecatan pengadil secara terburu-buru tidak akan menyelesaikan masalah kualiti pengadilan dalam liga tempatan.

“Jika ada kesilapan, perbaikilah. Jangan terus pecat. Ini bukan cara terbaik untuk meningkatkan mutu pengadilan.

“Pengadil memerlukan latihan berterusan seperti pemain bola sepak bagi memastikan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) mengambil tindakan tegas dengan memecat pengadil Fitri Maskon susulan prestasi lemah yang ditunjukkannya dalam perlawanan Piala MFL 2024-2025 antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Khamis lalu. – UTUSAN

Ulasan