
Pemergian Subky satu kehilangan besar buat PAS
February 18, 2025
ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ketua Penerangan PAS Kawasan Sik, Ustaz Mohd Subky Sulaiman, ke rahmatullah, malam tadi.
Pesuruhjayanya, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, Allahyarham juga merupakan antara individu yang terlibat secara langsung dengan institusi pendidikan di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS, sama ada di peringkat negeri mahupun kawasan.
“Allahyarham merupakan seorang yang gigih dan pemergiannya satu kehilangan besar buat PAS dan institusi pendidikan. Jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada perjuangan PAS dan pendidikan sangat besar.
“Semoga Allah limpahkan rahmat dan keampunan serta menerima segala amal jihad yang dilaksanakan sepanjang hayat beliau,” kata beliau melalui hantaran di media sosialnya, hari ini.
Sementara Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sik, turut merakam ucapan sama khususnya terhadap keluarga Allahyarham.
“Allahyarham yang merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Sik dikenali sebagai seorang yang berdedikasi dalam perjuangan serta banyak menyumbang kepada masyarakat dan jemaah.
“Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa beliau, merahmati roh beliau, serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh. Takziah kepada seluruh keluarga, sahabat, dan kenalan Allahyarham,” kata beliau yang juga merupakan sepupu dengan Allahyarham.
Ustaz Subky yang juga merupakan adik kepada Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmzi Sulaiman, ketika hayatnya pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengarah PASTI dan Pengarah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Kedah, selain bergiat aktif sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Sik.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pada jam 8.17 malam tadi, di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani setelah beberapa hari ‘ditidurkan’ akibat komplikasi jantung dan buah pinggang.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Pau, Sik, malam tadi, sementara solat jenazah akan disempurnakan di Masjid Ubaidiah, Kampung Sungai Pau, pada jam 11 pagi, hari ini. – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan