PUSPAKOM: Adakah syarikat baharu mampu penuhi standard?


PUSPAKOM: Adakah syarikat baharu mampu penuhi standard?
February 18, 2025

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), meminta kerajaan menjelaskan kriteria teknikal yang digunakan dalam pemilihan tiga syarikat baharu bagi menggantikan peranan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dalam pemeriksaan kenderaan.

Menurutnya, pembidaan bagi perkhidmatan ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu teknikal dan komersial yang mana sesebuah syarikat perlu memenuhi kriteria teknikal sebelum layak ke peringkat seterusnya.

“Apakah kriteria teknikal yang telah ditetapkan membolehkan tiga-tiga syarikat yang tidak ada pengalaman ini dipilih dari sudut teknikal kriterianya?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairil turut mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai mekanisme pemantauan ketat untuk memastikan syarikat baharu ini mencapai standard yang ditetapkan.

“Apakah syarikat ini apabila diberikan 24 bulan tadi kalau mereka tidak mampu untuk menyelesaikan perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh MOT diberikan lanjutan masa (EOT) ataupun kita hentikan terus?” ujarnya.

Menurut beliau, pemeriksaan kenderaan adalah isu kritikal kerana membabitkan keselamatan pengguna jalan raya, dengan statistik menunjukkan lebih 6,000 kematian setiap tahun akibat kemalangan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang lebih ketat bagi memastikan kualiti pemeriksaan tidak terjejas, terutama dalam menangani isu penipuan.

Menjawab persoalan itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, tiada lanjutan masa akan diberikan kerana ia bukan projek kerajaan, tetapi kelulusan bersyarat.

“Kita bagi kelulusan bersyarat, dia kena melabur, kena tubuhkan fasiliti dan baru kita bagi lesen operasi. Kalau semua kriteria teknikal dipenuhi, baru kita bagi lesen operasi. Kalau 24 bulan itu mereka tak dapat capai capai semua kriteria kita, lesen tidak akan diberikan,” katanya.

Bagi memastikan pemeriksaan kenderaan dijalankan dengan teliti, beliau berkata, setiap pemeriksa kenderaan yang dilantik perlu bertauliah dan menjalani kursus serta penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – HARAKAHDAILY 18/2/2025

Ulasan