SARANAN MENUKAR PRESIDEN PAS ADALAH TIDAK RELEVAN
1. Sejak Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2002 dan dipilih sebagai Presiden PAS pada tahun 2003 sehingga sekarang, hanya sekali sahaja berlaku pertandingan jawatan Presiden PAS iaitu pada tahun 2015. Malah, itulah satu-satunya pertandingan yang pernah berlaku bagi jawatan ini sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951.
2. Desakan untuk menukar jawatan Presiden pernah berlaku di dalam PAS. Pada tahun 1982, allahyarham Dato' Sri Paduka Raja Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Asri bin Haji Muda (Dato' Asri) telah meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung (Presiden) PAS pada hari kedua Muktamar PAS ke-28 kerana tekanan dalaman yang dihadapinya pada ketika itu.
3. Dato' Asri yang digantung keahlian PAS selepas itu, membuat keputusan meninggalkan PAS pada tahun 1983 dan menubuhkan parti HAMIM pada tahun 1983. Sejarah mencatatkan juga bahawa Yang Dipertua PAS pertama, Ustaz Ahmad Fuad Hassan meletakkan jawatan pada tahun 1953.
4. Dua orang Presiden PAS meninggal dunia semasa masih memegang jawatan. Pertama almarhum Ungku Dato Seri Dr. Haji Burhanuddin bin Ungku Haji Muhammad Nor (Dr Burhanuddin al-Helmi) pada tahun 1969 dan almarhum Dato' Ustaz Haji Fadzil bin Mohd Noor (Ustaz Fadzil Noor) pada tahun 2002.
5. Dato' Dr Haji Abbas bin Alias, memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Agung pada tahun 1953 sehingga tahun 1956 dan telah melepaskan jawatan tersebut kerana disebabkan almarhum bekerja sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur dan pegawai perubatan jemaah haji. Namun, Dr Abbas telah kembali berada di dalam kepimpinan PAS Pusat selepas bersara dari perkhidmatannya.
6. Hanya almarhum Tuan Guru Haji Yusof Rawa yang memegang jawatan Presiden PAS bersekali dengan jawatan Mursyidul Am PAS. Ia berlaku pada tahun 1987 apabila jawatan Mursyidul Am (MA) diwujudkan dan terus memikul amanah sebagai MA PAS dari tahun 1989 sehingga tahun 1995. Pada tahun 1989, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Presiden PAS menggantikan Haji Yusuf Rawa.
7. Bila ada ahli-ahli akademik mencadangkan supaya Presiden PAS ditukar, mengikut sejarah PAS pernah mengalaminya sekali namun ia adalah disebabkan desakan dari dalaman parti yang mahukan perubahan akibat dari pelbagai isu yang membarahi parti sehingga menyebabkan almarhum Dato' Asri meletakkan jawatan.
8. Begitu juga apabila berlakunya gerakan untuk menukar Presiden PAS pada tahun 2015 sehingga berlakunya pertandingan yang akhirnya menyebabkan mereka yang tidak sehaluan dengan TGHH telah keluar PAS dan menubuhkan parti baharu.
9. Dengan suasana yang berlaku pada ketika ini, dengan pencapaian PAS yang cemerlang dalam PRU15, dengan penambahan keahlian yang 150 ribu orang dalam tempoh lima tahun terakhir ini (2009-2024), dengan kestabilan PAS di bawah kepimpinan TGHH, pandangan ahli-ahli akademik ini adalah tidak relevan.
Sekian.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
18 Februari 2025
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
Ulasan
Catat Ulasan