Saya bukan Menteri Besar untuk Melayu, Islam, Pas sahaja – Sanusi



Saya bukan Menteri Besar untuk Melayu, Islam, Pas sahaja – Sanusi
SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah diiringi Muhammad Sanusi Md. Nor dan tetamu kenamaan lain menggaul yee sang sempena Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar. – IHSAN TOSHA IMAGES
Oleh .MUHAMAD AIMY AHMAD
17 Februari 2025, 9:53 am

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu beliau mengemudi pentadbiran negeri itu bukan semata-mata untuk berkhidmat kepada orang Melayu, Islam dan parti Pas sahaja.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, beliau sebaliknya bertanggungjawab terhadap kesemua 2.2 juta rakyat Kedah yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur.

Katanya, beliau juga Menteri Besar yang diberi mandat dan tanggungjawab oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk memimpin dan menguruskan kesejahteraan penduduk tidak kira yang mengundi atau tidak mengundi Perikatan Nasional (PN) ketika pilihan raya.

“Apabila diberi amanah atas perkenan Tuanku untuk memimpin bermula 17 Mei 2020, sering ditegaskan dalam ucapan-ucapan bahawa patik bukanlah Menteri Besar Kedah untuk orang Melayu sahaja, bukan untuk orang Islam sahaja, juga bukan untuk orang Pas atau PN sahaja, tetapi patik bertanggungjawab ke atas semua 2.2 juta rakyat jelata Tuanku.

“Inilah amanah Tuanku yang patik junjung di atas batu jemala patik ini, yang bukan sahaja dipertanggungjawabkan ke atas patik di dunia, bahkan juga untuk dijawab di hadapan Allah SWT di akhirat kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Sultan Sallehuddin yang berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina bagi tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, atas pegangan itu beliau mengisytiharkan slogan ‘Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua’ sebagai dasar Kedah bermula Mei 2020 hingga kini.

Ujarnya, slogan itu bermaksud halatuju serta komitmen kerajaan negeri yang diamanahkan kepadanya dan barisan Exco serta pentadbiran untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang.

“Patik beserta barisan Exco dalam kerajaan Tuanku tidak sekali-kali meminggirkan mana-mana kelompok minoriti sama ada dari segi kaum, agama, taraf hidup, pendidikan, ideologi politik mahupun apa-apa perbezaan yang lain dalam menentukan sebarang dasar atau keputusan yang dibuat.

“Dalam hal ini, kerajaan Tuanku sentiasa berpegang pada prinsip bahawa semua rakyat di Kedah mempunyai hak sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan, justeru hak-hak ini akan sentiasa dihormati dan diraikan,” katanya.

Tambahnya, Kedah memiliki seramai 276,000 rakyat berketurunan Tionghua dan walaupun dalam jumlah yang minoriti kerajaan negeri sentiasa bekerja keras untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran serta mempermudahkan setiap urusan mereka seperti rakyat Kedah yang lain.

“Sebagai hamba Tuhan, kita tidak boleh memilih kaum atau warna kulit untuk dilahirkan, yang boleh pilih adalah agama atau kepercayaan. Patik sendiri ada darah keturunan Cina, datuk patik berhijrah dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu dan memeluk agama Islam di sini.

“Islam menegah daripada mendiskriminasi warna kulit dan Islam juga tidak memaksa dalam beragama. Dalam kerajaan Tuanku ada Exco, Wong Chia Zen yang ditugaskan menjaga kebajikan orang bukan Islam selain tiga pegawai khas yang menjaga hal ehwal kaum bukan Melayu termasuk Siam,” katanya.

Ulasan