
Saya mahu hidup sendiri, minta Allah beri hidayah - Sahara Yaacob
Oleh Affan Rostam - Februari 24, 2025 @ 7:30am
Nor Hasnal (dua dari kiri) menyerahkan bakul makanan kepada Sahara sambil diperhatikan Sazelan Arbi dan Elveena (kanan) di PPR Seri Alam, Sungai Besi, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Foto NSTP Rohanis Shukri
KUALA LUMPUR: Bintang sensasi era 1980-an, Sahara Yaacob, 68, tidak dapat menggambarkan rasa syukur apabila kesempitan hidupnya sekali lagi mendapat perhatian masyarakat, biarpun sekecil-kecil pemberian dihulur insan berhati mulia.
Hidup sendiri selepas perkahwinan keenam dengan pesara kerajaan runtuh tahun lalu, Sahara menganggap dirinya tidak berada dalam kegelapan kerana masih ada Allah SWT yang membawa cahaya.
Meskipun tidak dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap hidup, Sahara atau nama sebenar, Zaharah Mohd Yaacob, berkata hatinya lebih lapang selepas tidak terikat dengan tali perkahwinan.
"Saya tidak jangka masih lagi mampu menjalani hidup dengan baik. Selepas bercerai, saya fikir mesti akan hidup susah, ditambah dengan tiada pekerjaan.
Disyorkan
"Sebaik bercerai, saya fikir macam mana hendak cari makan dengan kesihatan yang tidak berapa baik. Saya banyak berfikir, tetapi apabila berserah kepada Allah, semuanya dipermudahkan.

"Allah adalah penolong sebenar sebab manusia pun kadang-kadang mengabaikan juga, tetapi Allah tidak," katanya kepada BH Online selepas menerima sumbangan Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) di kediamannya di ibu negara, Jumaat lalu.
Presiden DPDDM, Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi yang berkunjung ke rumah Sahara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Sungai Besi, menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden DPDDM, Datuk Sazelan Arbi Bashah dan penyanyi Elveena Iris.
Selepas bercerai dengan suami bergelar ustaz, bekas pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam di Pekan, Pahang pada Ogos lalu, Sahara mengambil keputusan kembali menetap di kediaman lamanya di PPR Seri Alam dan hidup bersendirian.
Sahara yang pernah diberi jolokan Tina Turner Malaysia, berkata zakat bulanan diterima dari Baitulmal Kuala Lumpur digunakan bagi membiayai sewa rumah, keperluan harian dan perubatan.
"Kadang-kadang, apabila tiada gas untuk memasak, ada yang datang tolong. Apabila tiada air, kakak datang beri air tapisan. Saya tiada tilam untuk tidur, ada orang datang hantar tilam.
"Allah sudah susun cantik semuanya. Tidak perlu berfikir terlalu banyak, kita jalani dan berserah sahaja kepada Allah," katanya yang menghidap penyakit darah tinggi, asma, gout, kolestrol dan masalah buah pinggang tahap tiga.
Sahara mengaku lebih suka berseorangan bagi merawat diri dalam aspek batiniah, fizikal dan mental.
"Saya perlukan masa dan ketepikan semua yang tidak penting. Saya beri perhatian penuh kepada diri sendiri. Semoga saya dapat kekuatan untuk bangkit kembali. Kemudian, baru saya akan fikir untuk berjumpa kawan-kawan.
"Apabila sudah capai usia begini, saya sudah lalui banyak perkara. Ketika muda, kita banyak memberi dan buat sesuatu perkara untuk orang lain hingga membelakangkan diri.
"Jadi, sekarang saya berfikir untuk lebih menjaga diri sendiri. Mungkin Allah juga tidak suka apabila abaikan diri sendiri, sekarang saya faham. Saya mahu duduk sendiri dan minta Allah beri hidayah," katanya.
Pada 2016, BH mendedahkan kisah Sahara yang hidup kesempitan, tinggal bersendirian dalam stor di belakang kediaman arwah kakaknya di Hulu Langat, Selangor.
Pendedahan itu mengembalikan semangat hidup Sahara yang sudah lama hilang apabila tidak putus-putus dikunjungi orang ramai. Ketika itu, dirinya mula gagah untuk bangkit semula.
Selepas lima minggu kisahnya dibongkar, nasib Sahara terbela apabila menerima bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpindah ke PPR Seri Alam.
Ulasan
Catat Ulasan