Sifar sawit muda kurangkan kerugian


Sifar sawit muda kurangkan kerugian
HANYA lori membawa BTS masak dibenar masuk ke kilang memproses FGV di seluruh negara. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
5 Februari 2025, 7:50 am

JERANTUT: Sebanyak 37 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka menggiatkan kempen sifar buah tandan segar (BTS) muda tahun ini bagi meningkatkan kualiti sawit yang dihantar ke kilang sekali gus mengurangkan kerugian peneroka.

Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kempen itu berdasarkan inisiatif Felda yang dilaksanakan secara berterusan tetapi ditambah baik pada tahun ini dengan membabitkan tiga pihak berkepentingan dalam industri sawit negara.

Katanya, tiga pihak terbabit ialah peneroka sebagai pemilik kebun, penuai BTS dan Kilang Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) sebagai penentu kualiti buah sawit untuk diproses.

“Felda Wilayah Jengka mengambil berat kualiti BTS dan hanya buah yang cukup masak dituai dan yang memenuhi kriteria dihantar ke kilang FGV serta digred ketat mengikut kualiti buah.

“Jika syarat dipenuhi, peratusan perahan minyak sawit meningkat dan peneroka akan menerima bayaran lebih tinggi. Oleh itu semua rancangan Felda telah menanganinya dengan mengenal pasti buah masak dituai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, terdapat tanah rancangan dalam Felda Wilayah Jengka termasuk Felda Jengka 24 mengenakan denda RM3.50 setandan sekiranya ada buruh masih berdegil menuai BTS muda.

Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 15, Adnan Darus berkata, tindakan pihak pengurusan Felda mengambil inisiatif memberikan taklimat kepada buruh asing adalah langkah tepat sebagai panduan kriteria buah masak dan tidak memotong buah muda atau kurang masak.

Menurutnya, masalah timbul apabila tenaga buruh asing sering bertukar atas pelbagai faktor menyebabkan mereka masih menuai BTS muda kerana mementingkan kuantiti.

“Pengurusan kilang FGV terpaksa menolak BTS sedemikian kerana ia bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada peneroka tetapi mutu minyak sawit mentah yang diproses,” katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 67, berharap program bersama kilang FGV kerap diadakan dengan membabitkan buruh asing untuk melihat sendiri proses menggred BTS.

Menurutnya, jika diberi pemahaman kriteria sawit masak dalam jangka panjang, masalah tuai BTS muda dapat ditangani dengan berkesan. – UTUSAN

Ulasan