

Berita
Takiyuddin sahkan hubungi Fadillah isu peruntukan pembangkang
Diterbitkan: Feb 27, 2025 3:40 PMKetua whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan hari ini mengesahkan dia ada berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof mengenai isu peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang.
Secara khusus, ahli parlimen Kota Bharu itu memberitahu pemberita di parlimen bahawa dia menghubungi Fadillah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pembentukan jawatankuasa bagi melihat semua cadangan daripada pembangkang ke arah penyelesaian menyeluruh.
"Malah saya teks (menghantar mesej) pada beliau, mengenai kenyataan bahawa beliau akan tubuh jawatankuasa perundingan, (saya tanya) 'betul ke macam ni?'. Dia kata pada saya, masuk (hantar) surat dulu, saya tubuh jawatankuasa'," kata Takiyuddin yang menyatakan jawapan Fadillah menunjukkan bahawa perjanjian kerajaan adalah bersyarat.
"Boleh tanya dia balik. Saya ada bukti, saya peguam, saya tak akan cakap tanpa fakta.
"Dia kata kalau ada pembangkang masuk satu permohonan pada beliau minta nak berunding atau ada cadangan balas, baru dia akan tubuh jawatankuasa," kata Setiausaha Agung PAS itu semasa sidang media bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan ahli parlimen PN yang lain.
Sementara itu, Hamzah berkata langkah seterusnya buat PN ialah menulis surat kepada Fadillah untuk pengesahan rasmi.
"Langkah seterusnya, kita akan hantar surat menyatakan apakah benar kenytaan beliau yang beliau minta supaya kita menghantar surat.
"Kita akan tulis surat bahawa jika benar, kami bersetujulah untuk ditubuh satu jawatankuasa ini," kata Hamzah.
Semalam, Fadillah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan, berkata setakat ini hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq yang menemuinya dengan cadangan peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang.
Bagaimanapun, Fadillah berkata Syed Saddiq - ahli parlimen Bebas - tidak mewakili pembangkang secara keseluruhan.
Ulasan
Catat Ulasan