Tiada dasar baharu berkaitan doktor pakar


Tiada dasar baharu berkaitan doktor pakar
Oleh HAFIZ SAIDINA
18 Februari 2025, 6:50 am

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada dasar atau garis panduan baharu yang dipinda menerusi Akta Perubatan 1971 (Akta 50) berkaitan tempoh pengesahan doktor pakar ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) kepada Akta Perubatan (Pindaan) 2024 (Akta A1729) masih belum dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menegas­kan, dakwaan bahawa KKM mewajibkan tempoh pengesahan doktor pakar sehingga 18 bulan dan pegawai peru­batan menerima ku­rang da­ripada separuh ga­ji yang se­patutnya adalah ti­dak benar.

Beliau berkata, kajian me­ngenai penyelarasan elaun Bayaran Insentif Pakar (BIP) kini berada di peringkat a­khir untuk diselarikan de­ngan lunas undang-undang.

“Sebarang keputusan me­ngenainya akan diumum­kan secara rasmi setelah dimuktamadkan dengan agensi-agensi pusat.

“Sebarang perubahan pe­nye­larasan elaun ini juga ha­nya akan terpakai kepada pe­ngamal yang tamat latihan kepakaran selepas Akta A1729 dikuatkuasakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dasar baharu Kementerian Kesihatan yang mewajibkan tempoh pengesahan sebagai doktor pakar sehingga 18 bulan berban­ding enam bulan sebelum ini disifatkan tidak adil dan satu eksploitasi terhadap golongan itu.

Lanjutan tempoh itu terkandung dalam garis panduan yang dipinda menerusi Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan Perintah Am, Bab F.

Namun, sepanjang tempoh peralihan itu, pakar diklasifikasikan sebagai pegawai perubatan dan dibayar gaji seperti biasa walaupun mereka menjalankan tugas bertaraf pakar.

Menurut seorang pakar perubatan yang bertugas di salah sebuah hospital Lem­bah Klang, secara ringkasnya, seorang doktor pakar bedah atau pakar bius yang baru diiktiraf akan menerima gaji yang sama seperti pegawai peruba­tan junior (sekitar RM5,000–RM7,000 sebulan).

Katanya, walaupun mereka mengendalikan kes-kes rumit, membuat keputusan hidup dan mati serta bekerja dalam keadaan yang amat mencabar, ini bukan sekadar satu tindakan tidak adil, malah ia adalah ‘kecurian’ gaji yang diinstitusikan.

“Lebih buruk lagi, kerajaan telah menghapuskan tuntutan gaji secara backdated. Ini bermakna, walaupun selepas menamatkan tempoh peralihan selama 18 bulan, pakar-pakar ini tidak akan menerima bayaran sewajarnya untuk tenaga dan kepakaran yang telah mereka sumbangkan.

“Bayangkan bekerja sebagai pakar selama satu setengah tahun, mereka tidak akan dibayar setimpal dengan kepakaran yang telah dilaksanakan,” katanya.

Kata beliau, butiran kecil dalam dasar ini mendedahkan lebih banyak ketidakadilan yang mana pakar bukan sahaja dibayar rendah tetapi terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan birokrasi yang menyebabkan proses pewartaan mereka tergendala atau terbatal.

Sebagai contoh katanya, seorang doktor yang mengambil cuti lebih daripada 15 hari (termasuk cuti sakit atau cuti bersalin) boleh mengganggu garis masa pewartaan, menyebabkan tempoh pewartaan dilanjutkan atau dimulakan semula.

Ini bermakna seorang pakar yang jatuh sakit atau mengambil cuti bersalin mungkin terpaksa melalui tempoh peralihan yang lebih lama dan tetap menerima gaji status pegawai perubatan. – UTUSAN

Ulasan