
Tiada keperluan gubal Akta Anti Diskriminasi Kaum - Aaron
18 Februari 2025 11:45am
Masa membaca: 2 minit
KUALA LUMPUR - Kerajaan berpendirian tiada keperluan menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum buat masa ini.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
Menurutnya, sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 10 peruntukan undang-undang dalam membendung perkara berkenaan termasuk melalui Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang disifatkan mencukupi.
"Sesiapa dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa.
"Dalam hal ini, penguatkuasaan yang telus dan adil, tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan kelas sosial adalah amat penting untuk memastikan keharmonian terus terpelihara,"katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada suatu Akta Anti-Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap estremis dan rasis termasuk peristiwa terkini yang membabitkan seorang penjaja di Sepang.
Bagaimanapun menurut Aaron, kementerian sedia menyokong hasrat berkenaan sekiranya keadaan mendesak dan Kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman.
Dalam pada itu, mengulas berhubung insiden melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, beliau berkata, kementerian telah mengerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, sesi permohonan maaf tersebut telah diadakan disebuah restoran di Sepang yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.
Artikel Berkaitan:DAP gesa kerajaan gubal akta antidiskriminasi kaum
"Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejenperpaduan dan penyelesai masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara.
"Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza," tegasnya.
Ulasan
Catat Ulasan