
Tiga cabaran universiti lahir siswazah seimbang
Intan Syazlina Mohd Ali - Februari 17, 2025 @ 9:30am
Pengurusan di universiti membabitkan pelbagai dimensi seperti penyusunan strategi pendidikan, pengurusan sumber manusia, kemudahan pembelajaran, penyelidikan dan kolaborasi dengan pihak luar.
Dalam hal ini, ia memerlukan pendekatan holistik dan berteraskan nilai moral tinggi untuk mencapai matlamat pendidikan berkualiti.
Bagaimanapun, beberapa cabaran utama dikenal pasti perlu diatasi universiti dalam meningkatkan keberkesanan kepemimpinan pengurusan.
l Pertama, teknologi dan inovasi. Universiti perlu menghadapi perubahan pesat dalam teknologi pendidikan yang memerlukan perubahan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kepemimpinan pengurusan harus menyediakan platform kondusif untuk pembelajaran berasaskan teknologi seperti pembelajaran dalam talian dan pengajaran interaktif.
l Kedua, kepelbagaian pelajar dan fakulti. Dengan kepelbagaian latar belakang budaya, etnik dan agama dalam komuniti universiti, kepemimpinan pengurusan perlu memastikan keadilan dalam peluang serta layanan untuk semua individu, seterusnya menyuburkan budaya toleransi dan harmoni.
l Ketiga, pengurusan kewangan. Universiti menghadapi tekanan kewangan dalam memastikan sumber mencukupi untuk membiayai aktiviti pengajaran, penyelidikan dan pembangunan infrastruktur.
Pemimpin pengurusan universiti perlu bijak merancang dan mengurus sumber kewangan untuk mencapai matlamat jangka panjang.
Justeru dalam hal ini, aspirasi MADANI dapat diintegrasikan dalam kepemimpinan pengurusan universiti dengan menekankan beberapa aspek penting.
Dalam pemerkasaan sumber manusia, pengurusan universiti perlu menekankan pembangunan potensi kakitangan akademik dan pentadbiran dengan memberikan latihan serta peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.
Ini memastikan mereka menghargai sumbangan semua individu dalam organisasi dan berusaha menyediakan persekitaran adil serta seimbang.
Antara teras aspirasi MADANI ialah keadilan dan kesaksamaan. Oleh itu, universiti perlu memberi perhatian kepada keperluan dan potensi pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Program pembangunan pelajar, biasiswa dan peluang pembelajaran perlu dibuka luas kepada semua tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.
Begitu juga dalam pembangunan inovasi dan penyelidikan. Pengurusan universiti perlu memastikan kedua-dua bidang ini tidak hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi, bahkan menambah nilai kepada kesejahteraan sosial.
Dengan ini, universiti dapat menjadi pusat pemikiran yang menyumbang kepada pembangunan negara lebih mampan dan berdaya saing.
Kepemimpinan universiti juga perlu melihat lebih jauh daripada pengajaran dan pembelajaran semata-mata. Mereka perlu terbabit dalam isu sosial dan persekitaran dengan mengadakan program khidmat masyarakat bermanfaat dan berkesan.
Melalui program sebegini, universiti dapat berperanan membentuk masyarakat lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap isu global.
Begitu juga peningkatan kualiti pendidikan. Pengurusan universiti perlu menekankan kualiti pendidikan bukan sahaja mengutamakan pencapaian akademik, bahkan perkembangan sahsiah dan kerohanian pelajar.
Pendidikan menyeluruh dapat menghasilkan siswazah yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan berintegriti, bertanggungjawab dan mempunyai sifat kepemimpinan yang baik.
Hakikatnya, kesejahteraan dari lensa aspirasi MADANI bukan hanya mencari kesejahteraan duniawi seperti kekayaan dan kebendaan, sebaliknya menyeimbangkan keperluan jasmani dan rohani.
Oleh itu, sokongan perlu diberi kepada pengurusan universiti dalam menghasilkan ilmu yang memberi fokus kepada teknologi baharu yang mampu menangani keperluan semasa.
Hakikatnya, peranan kepemimpinan pengurusan di universiti bukanlah tugas mudah, tetapi ia diperlukan untuk memastikan universiti berperanan sebagai ejen perubahan positif kepada masyarakat.
Dengan mengutamakan nilai kemanusiaan, keadilan dan pembangunan berterusan, universiti dapat mencipta suasana pendidikan inklusif, progresif serta berdaya saing.
Justeru, kepemimpinan pengurusan perlu memastikan universiti terus relevan dalam menghadapi cabaran zaman dan menjadi pusat kecemerlangan menghasilkan siswazah seimbang dari segi intelek dan sahsiah.
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Ulasan
Catat Ulasan