Trump buat dunia huru-hara, ‘rakus’ ubah dasar AS


Trump buat dunia huru-hara, ‘rakus’ ubah dasar AS
PRESIDEN AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif di Pejabat Oval di Rumah Putih, Washington, DC, pada 14 Februari lepas.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
18 Februari 2025, 7:15 am

WASHINGTON: Dalam tempoh hampir sebulan sejak memulakan penggal keduanya, Presiden Donald Trump semakin agresif menyusun semula landskap sosial, politik dan ekonomi Amerika Syarikat (AS), termasuk mentakrifkan kembali peranan negara di peringkat global.

Sejak hari pertama dilantik pada 20 Januari lalu, Trump sudah menandatangani lebih 60 perintah eksekutif merangkumi isu imigresen, tarif import, pengurangan tenaga kerja, sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan menarik balik hak transgender.

Jumlah itu paling banyak dalam 100 hari pertama Presiden AS untuk tempoh lebih 40 tahun.

Pada masa sama, beliau turut memberi kuasa kepada jutawan terkenal, Elon Musk, untuk membantu mengatur pemecatan ribuan kakitangan persekutuan dan berkemungkinan menutup keseluruhan agensi yang ditubuhkan Kongres.

PEMECATAN BESAR-BESARAN

Tidak sampai sebulan memerintah, pentadbiran Trump memecat ribuan kakitangan yang masih dalam tempoh percubaan, lazimnya dalam kalangan pekerja baharu.

Sebahagian mereka hanya diberi masa kurang daripada satu jam untuk meninggalkan pejabat.

Mereka yang berpotensi kehilangan pekerjaan termasuk saintis perubatan, pakar infrastruktur tenaga, pegawai perkhidmatan asing, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), pendakwa raya, pakar data pendidikan dan pertanian, pekerja bantuan luar negara serta kakitangan sumber manusia yang sepatutnya menguruskan pemecatan.

Bagi Biro Perlindungan Kewangan Pengguna, yang diwujudkan selepas krisis kewangan 2008, pekerja mendakwa pentadbiran bukan sahaja mahu mengurangkan hampir keseluruhan tenaga kerja, tetapi juga memadam semua data yang dikumpul dalam tempoh 12 tahun lalu.

Bagaimanapun, atas perintah hakim, pentadbiran bersetuju untuk menggantung sementara sebarang tindakan lanjut terhadap agensi itu sehingga 3 Mac.

Walaupun Trump berjanji untuk mengubah Washington secara drastik, langkah itu berpotensi memberi kesan besar kepada ribuan kakitangan persekutuan seluruh negara dan boleh meningkatkan kadar pengangguran jika pemecatan besar-besaran berlaku serentak.

CABARAN UNDANG-UNDANG MENINGKAT

Tindakan mahkamah terhadap dasar Trump meningkat dan terus berlaku sejak 20 Januari.

Pentadbiran kini berdepan sekitar 70 tuntutan mahkamah di seluruh negara, yang mencabar perintah eksekutifnya serta usaha untuk mengecilkan saiz kerajaan persekutuan.

Dengan Kongres yang dikuasai Republikan memberikan sedikit tentangan, sistem kehakiman menjadi medan utama bagi pihak yang menentang.

Hakim mengeluarkan lebih daripada 24 perintah untuk sekurang-kurangnya sementara waktu bagi menyekat sebahagian agenda Trump, termasuk menamatkan hak kewarganegaraan automatik bagi individu lahir di AS serta kebenaran pasukan Musk mengakses data sensitif kerajaan persekutuan.

Walaupun ramai hakim yang mengeluarkan keputusan tersebut dilantik oleh Demokrat, Trump turut menerima keputusan yang tidak memihak kepadanya daripada hakim dilantik daripada Republikan.

Namun, pentadbiran itu turut meraih beberapa kemenangan, termasuk keputusan hakim membenarkan pelaksanaan program peletakan jawatan tertangguh yang dipelopori oleh Musk.

TINJAUAN EKONOMI SURAM

Di tengah pergolakan dasar, data ekonomi terkini mungkin menimbulkan kebimbangan di Rumah Putih.

Menurut Jabatan Buruh, inflasi meningkat sebanyak 0.5 peratus pada Januari.

Dalam tempoh tiga bulan terakhir, indeks harga pengguna melonjak pada kadar tahunan 4.5 peratus, petanda inflasi kembali meningkat selepas kebanyakannya reda sepanjang 2024.

Sebelum ini, Trump berjanji kepada pengundi kononnya beliau dapat menurunkan inflasi dengan cepat sebaik sahaja memegang jawatan.

Petanda masalah lain turut muncul apabila Jabatan Perdagangan melaporkan jualan runcit merosot 0.9 peratus pada Januari.

Penurunan yang besar boleh menandakan keyakinan pengguna dan pertumbuhan ekonomi semakin lemah.

Laporan Rizab Persekutuan mengenai pengeluaran perindustrian juga mendapati pengeluaran kilang merosot sebanyak 0.1 peratus pada bulan sama, sebahagian besar disebabkan oleh penurunan 5.2 peratus dalam pengeluaran kenderaan bermotor dan alat ganti.

PERDAGANGAN ADIL VERSI TRUMP

Selepas mengenakan tarif terhadap China serta bersiap sedia menguatkuasakan cukai import ke atas Kanada dan Mexico, Trump kini melancarkan rancangan yang didakwanya lebih besar.

Beliau mengumumkan untuk menetapkan tarif baharu dalam beberapa minggu dan bulan akan datang bagi menyamai kadar yang dikenakan oleh negara lain.

Negara lain kebanyakannya tidak menganggap pendekatan Trump sebagai adil.

Dari sudut pandangan mereka, Trump bukan sahaja mengambil kira tarif import tetapi juga cukai lain seperti cukai nilai tambah, yang sama dengan cukai jualan.

Ini bermakna, kadar yang ditetapkan boleh jauh lebih tinggi berbanding tarif standard di Eropah.

Selain itu, Trump merancang tarif tambahan secara berasingan terhadap kenderaan, cip komputer dan farmaseutikal, selain tarif 25 peratus ke atas keluli serta aluminium yang diumumkan minggu lalu.

Masih tidak jelas sama ada sekatan perdagangan itu bertujuan sebagai alat rundingan atau cara untuk Trump meningkatkan pendapatan negara.

Setakat ini, beliau memberi gambaran bahawa ia berfungsi untuk kedua-duanya.– AP

Ulasan