Trump mula 'campur tangan' di Afrika


Trump mula 'campur tangan' di Afrika

05 Februari 2025 07:00am
Masa membaca: 3 minit

Trump mendakwa perancang kanan Daesh dan beberapa anggota kumpulan itu menjadi sasaran operasi tersebut. Gambar kecil: Trump


WASHINGTON - Tiada angin, tiada ribut, secara tiba-tiba tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas markas Daesh di Somalia.

Ia merupakan serangan pertama ke atas negara Afrika di bawah penggal kedua pentadbiran Presiden Donald Trump dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas beliau kembali ke Rumah Putih.


Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth pada Sabtu memaklumkan operasi dilancarkan Pusat Perintah AS di Afrika itu adalah di bawah arahan Trump dan diselaraskan bersama Mogadishu.

Penilaian awal oleh Pentagon mendapati sejumlah anggota militan terbunuh dan mendakwa tiada orang awam terjejas dalam operasi tersebut.


Serangan udara itu diarahkan Pusat Perintah AS di Afrika berdasarkan perintah Trump.

Trump menerusi catatan dikongsikan di media sosial mengumumkan perancang kanan Daesh dan beberapa anggota mereka menjadi sasaran serangan itu.

“Tentera kami membedil gua yang menjadi tempat persembunyian mereka. Kami sudah menyasarkan kumpulan itu selama bertahun, namun Biden bersama kroni beliau gagal mengambil sebarang tindakan untuk menghapuskan mereka. Saya sudah laksanakannya.

“Mesej jelas kepada Daesh dan musuh kami yang menyerang warga Amerika adalah, kami akan buru dan bunuh anda,” kata Trump dengan angkuh.

Pada Isnin, seorang komander kanan Daesh, Abdirahman Shirwac Aw-Saciid telah diberkas di kawasan pergunungan Cal Miskaad, dua hari selepas kepimpinan militan itu menjadi sasaran serangan udara AS.

Sementara itu, pejabat Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud menyifatkan operasi itu memperkukuhkan lagi perkongsian keselamatan antara kedua-dua negara di bawah usaha membanteras ancaman ekstremis.

Difahamkan, strategi antikeganasan di rantau Afrika berdepan kesukaran selepas Chad dan Niger mengusir pasukan tentera AS pada tahun lalu serta mengambil alih pangkalan utama yang digunakan untuk melatih dan melaksanakan misi membanteras kumpulan militan di seluruh Sahel yang terbentang meluas di selatan Gurun Sahara.

Tentera AS memberi amaran sel Daesh telah diarahkan berpindah ke utara Somalia termasuk menculik warga Barat untuk wang tebusan dan menggunakan pelbagai taktik bersembunyi daripada pihak berkuasa.

Operasi itu menyusul setelah serangan udara dilancarkan di barat laut Syria pada 30 Januari lalu dan menghapuskan pemimpin kanan kumpulan militan yang merupakan sekutu al-Qaeda.

Potong pembiayaan Pretoria

Pada akhir minggu lalu, Trump dengan lantang mendakwa Afrika Selatan 'merampas' tanah dan memberi layanan yang buruk terhadap kelas tertentu dalam masyarakat.

Kenyataan itu dibuat Presiden ke-47 AS itu ketika beliau mengumumkan pemotongan kesemua pembiayaan kepada Pretoria sementara siasatan dijalankan.

Isu tanah di Afrika Selatan turut dikritik bilionair Amerika, Elon Musk yang merupakan sekutu rapat Trump.

Pada bulan lalu, Presiden Cyril Ramaphosa menandatangani rang undang-undang menetapkan dalam keadaan tertentu kerajaan boleh memutuskan untuk tidak memberi sebarang pampasan terhadap hartanah yang dirampas untuk kepentingan awam.

Beberapa pihak bimbang situasi itu sama seperti dilakukan pemerintah Zimbabwe terhadap hasil rampasan tanah milik orang kulit putih yang langsung tidak diberikan pampasan selepas kemerdekaan pada 1980.

Pemilikan tanah terus menjadi isu yang menjadi pertikaian di Afrika Selatan dengan sebahagian besar kawasan ladang dikatakan masih dimiliki orang kulit putih kira-kira tiga dekad setelah dasar aparteid berakhir. - Agensi

Info

>Gabungan Daesh di Somalia muncul pada 2015 sebagai pecahan anggota al-Shabab yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda di Afrika Timur dan paling aktif di Puntland terutamanya di pergunungan Galgala yang menjadi markas persembunyian mereka di bawah pimpinan Abdulkadir Mumin.

>Meskipun pengaruhnya agak terhad berbanding al-Shabaab, anggota Daesh di Mogadishu terlibat dalam siri serangan di selatan tengah negara itu. Kumpulan itu membiayai aktiviti mereka melalui pemerasan, penyeludupan dan cukai haram terutamanya di beberapa kawasan pantai di mana ia cuba mengawal perniagaan tempatan.

>Ia terus beroperasi di kawasan terpencil dan bandar serta cuba memperluaskan pengaruh mereka dengan merekrut anggota baharu dan menyebarkan propaganda.

>Dianggarkan ratusan anggota Daesh beroperasi di kawasan pergunungan Cal Miskaad terletak antara timur Karin, Somalia dan hujung Tanduk Afrika.

Ulasan