UMNO Kelantan tolak ‘tidur sebantal’ dengan Pas



UMNO Kelantan tolak ‘tidur sebantal’ dengan Pas
ZAWAWI OTHMAN
Oleh TOREK SULONG
5 Februari 2025, 7:33 am

PASIR PUTEH: UMNO Kelantan menolak tawaran dan sama sekali tidak melayan hasrat Pas untuk kembali ‘tidur sebantal’ dengan parti itu menerusi perpaduan ummah.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman berkata, impian Pas untuk bergabung semula dalam konteks perpaduan ummah hanyalah retorik politik selain berkempen untuk memperlekeh kepemimpinan parti ketika ini.

“Kenyataan yang dikeluarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang memberi bayangan bahawa kerjasama antara kedua-dua parti itu boleh dihidupkan kembali sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menerajui kepimpinan parti tersebut adalah satu strategi politik.

“Isu yang digembar-gemburkan itu sekadar meraih sokongan semata-mata. Kita (UMNO) tidak tertarik dengan tawaran sedemikian buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zawawi berkata, UMNO Kelantan sudah masak dengan sikap Pas yang tidak tetap pendirian dan sanggup menghalalkan cara demi kepentingan parti mereka.

Katanya, kempen yang mendakwa UMNO bergabung dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan tidak memberi impak sokongan rakyat kerana Pas dahulunya pernah berbuat sedemikian.

Beliau berkata, adalah lebih mulia Pas mengukuhkan integriti perjuangan mereka dengan merealisasikan pelaksanaan Hudud, mengkaji semula keterlanjuran cakap dan ketaksuban yang meretakkan perpaduan rakyat.

“Kisah silam yang melibatkan hukum-hakam, kafir-mengkafir, tragedi Memali dan lain-lain perlu dikaji semula serta tidak perlu menjaga ‘tepi kain’orang’.

“Maaflah buat masa kini tiada hasrat untuk kami menukar kepemimpinan UMNO. Kami tidak mudah goyah dengan tawaran dan masih walak terhadap saf kepemimpinan parti,” katanya.

Terdahulu, Hashim dilaporkan berkata, Pas sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan UMNO demi menyatukan umat Islam di Malaysia.

Hashim dikatakan memberi bayangan bahawa kerjasama antara Pas dan UMNO boleh dihidupkan kembali sekiranya Ahmad Zahid tidak lagi menerajui kepemimpinan parti tersebut.

Ulasan