Usah pertikai usaha Malaysia bantu bangunkan semula Gaza
Oleh Shahidah Abdul Razak - Februari 4, 2025 @ 9:15am
Agak menyedihkan apabila ada dalam kalangan rakyat mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan memberi sumbangan untuk membangunkan Gaza selepas wilayah itu diserang Israel lebih 15 bulan.
Berita gembira ditunggu-tunggu ini, walaupun sementara, hakikatnya amat bermakna bagi rakyat Palestin yang hidup merana di bumi sendiri, terutama sejak 7 Oktober 2023 apabila rejim Zionis melakukan serangan genosid dan membunuh lebih 47,000 warga Gaza.
Serangan dan pengeboman sembarangan ke atas Gaza dan penduduknya yang tidak berdaya itu, menghancurkan tempat berlindung dan segala kemudahan, sekali gus menjadikan wilayah berkenaan seperti padang jarak padang tekukur.
Sudah tentu ia membawa kepada kebimbangan terhadap persoalan bagaimanakah penduduk Gaza dapat meneruskan kehidupan dalam suasana kehancuran.
Malangnya, kritikan terhadap tindakan kerajaan berlandaskan kemanusiaan, bukanlah yang pertama.
Sebelum ini, apabila kerajaan membuat keputusan membawa penduduk Gaza yang tercedera dalam serangan rejim Zionis untuk mendapatkan rawatan di Malaysia, ia juga dikecam sesetengah pihak yang tidak berpuas hati.
Ia menimbulkan tanda tanya sejak bila pula rakyat Malaysia mula mengkritik bantuan diberikan kerajaan kepada negara memerlukan.
Hakikatnya, setelah sekian lama sebahagian besar warga dunia menghentam Israel kerana kekejaman dilakukan, kini masanya Malaysia mengotakan apa dikata.
Selain sokongan moral, penduduk Gaza dan rakyat Palestin memerlukan pelbagai bantuan untuk kelangsungan hidup. Kesengsaraan rakyat Palestin bukanlah asing bagi Malaysia.
Palestin sudah menjadi seperti 'negara angkat' Malaysia. Apa yang terjadi di negara yang memiliki tempat suci ketiga untuk umat Islam ini sentiasa menjadi perhatian warga Malaysia.
Malaysia perjuang hak Palestin
Seperti 'cubit paha kiri, paha kanan terasa', Malaysia memperjuangkan hak Palestin sejak kependudukan haram Israel di tanah Palestin.
Dari dahulu lagi, Malaysia sentiasa menyuarakan ketidakadilan dilakukan rejim Zionis dan sekutunya ke atas rakyat Palestin. Malah, suara Malaysia bukan hanya disampaikan melalui kata-kata, tetapi juga sumbangan kepada negara Islam ini.
Jika dilihat sumbangan Malaysia ke negara yang mengalami kemusnahan, ia bukanlah perkara baharu. Kita sentiasa bersikap prihatin kepada negara yang ditindas dan mengalami kemusnahan akibat peperangan, terutama negara Islam.
Antara negara mendapat perhatian Malaysia ialah Bosnia Herzegovina yang mengalami perang penghapusan etnik selama tiga tahun, iaitu pada 1992 hingga 1995, sekali gus menjadi faktor nama Malaysia sentiasa di sebut-sebut rakyatnya dan dekat di hati mereka.
Dengan kenyataan terbaharu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan untuk mengusir seluruh rakyat Palestin dari bumi sah mereka. Kenyataan ini sepatutnya memberikan gambaran betapa mustahak keputusan Perdana Menteri untuk pembangunan semula Gaza.
Tanggungjawab ini mesti dipikul dengan tidak memberikan ruang kepada rejim Zionis terus bermaharajalela dan membiarkan rakyat Palestin tanpa pembelaan. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kesengsaraan Palestin adalah yang terburuk dan tanpa berpenghujung.
Dunia dengan terang-terangan membiarkan rakyat Palestin hidup dalam penjara terbesar, sekali gus menjadi satu-satunya negara yang masih dijajah.
Apatah lagi dengan senario ekonomi Malaysia kian stabil, ia memberikan ruang kepada Malaysia untuk memberikan sumbangan kepada saudara kita di Gaza.
Sepanjang dua tahun kerajaan dipimpin Anwar, pelbagai hasil positif, terutama dari sudut bantuan dan kebajikan rakyat disaksikan. Sepatutnya, fokus kritikan adalah kepada isu tatakelola atau ketirisan yang mengakibatkan kehilangan jutaan ringgit, bukannya projek pembangunan semula Gaza.
Pada masa sama, kita sepatutnya bersyukur Malaysia dalam setiap pentadbiran, sentiasa prihatin terhadap isu dunia, sekali gus tidak membenarkan rakyat Palestin terus hidup dalam penindasan.
Ulasan
Catat Ulasan