Akan ada cahaya di hujung terowong, kata hakim 1MDB lepas bertahun perbicaraan


Berita
Akan ada cahaya di hujung terowong, kata hakim 1MDB lepas bertahun perbicaraan
Diterbitkan: Mar 12, 2025 12:40 PM

Hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan RM2.27 bilion berkata akan tiba masanya apabila ada cahaya di penghujung terowong.

Hakim Mahkamah Rayuan Collin Lawrence Sequerah, atas kapasitinya sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini, mengingatkan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan berhubung perbicaraan yang bermula pada Ogos 2019 itu.

Semasa prosiding perbicaraan awal pagi ini, Sequerah cuba menetapkan tarikh ganti perbicaraan serta tarikh tambahan perbicaraan kes itu, di mana Najib pertama kali didakwa di mahkamah jenayah pada 2018.

Hakim berkata demikian ketika bercakap dengan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.

“Kita semua sedang berusaha, tetapi pasti tiba masanya apabila ada cahaya di hujung terowong.

"Mereka kata ini hujung ekor (perbicaraan 1MDB) tetapi kadangkala ekornya sangat panjang," kata Sequerah, yang hampir mencapai umur persaraan kehakiman awal tahun depan.

Difahamkan, pasukan pendakwaan dan pembelaan akan kembali ke mahkamah jenayah kemudian untuk penggantian dan tarikh perbicaraan tambahan.

Saksi pembelaan dan pegawai penyiasat polis bersara R Rajagopal kemudian tampil untuk pemeriksaan utama oleh Shafee.

Pada 30 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib kerana kekuatan kira-kira 50 keterangan saksi.

Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi cuba menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Tertuduh berhujah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku di 1MDB dan penyelewengan di syarikat itu adalah semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan syarikat.

Bekas ahli parlimen Pekan itu juga bergantung kepada pembelaan bahawa dia dijanjikan derma oleh raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan di Riyadh pada 2010.

Ulasan