Beli secara dalam talian ‘bunuh’ bazar Aidilfitri?


Beli secara dalam talian ‘bunuh’ bazar Aidilfitri?
PERALIHAN pembelian khususnya baju raya secara dalam talian dengan harga lebih murah menyaksikan bazar Aidilfitri sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin suram.
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
12 Mac 2025, 6:50 am

KANGAR: Peralihan selera orang ramai membeli kelengkapan Aidilfitri, secara dalam talian dilihat ‘membunuh’ bazar Aidilfitri yang sebelum ini menjadi tumpuan masyarakat menjelang musim perayaan yang akan disambut tidak lama lagi.

Keadaan ini berbeza dengan suasana lima atau 10 tahun lalu, di mana bazar-bazar Aidilfitri dipenuhi dengan pengunjung yang berpusu-pusu mencari kelengkapan raya menjelang hari kemenangan umat Islam itu.

Bazar-bazar Aidilfitri yang dianjurkan, kelihatan semakin hilang seri apabila tidak ramai pengunjung malah peniaga mengeluh hasil jualan sema­kin perlahan meskipun semakin hampir dengan Aidilfitri.

Tinjuan Utusan Malaysia ke Bazar Aidilfitri baru-baru ini mendapati jumlah keha­diran pengunjung tidak ramai, malah ada peniaga mengakui jualan mereka di bazar ber­kenaan merosot dengan jualan sekitar dua hingga 10 pasang pakaian sahaja berbanding tahun lalu yang rancak hingga menjangkau jualan ribuan ringgit sehari.

Malah situasi berkenaan dijangka berterusan tahun ini, sekaligus menambah ketidakpastian terhadap masa depan bazar Aidilfitri.

Beralihnya pembelian secara dalam talian, khususnya di media sosial seperti TikTok, memberi impak besar kepada perniagaan fizikal di bazar-bazar Aidilfitri.


Sebelum Ramadan lagi peniaga sudah rancak menjual pakaian secara siaran langsung di platform berkenaan, malah semakin mendapat sambutan daripada pelanggan dengan tawaran harga runtuh dilengkapi promosi agresif.

Kebanyakan produk pakaian seperti baju Melayu, kurung dan pakaian kanak-kanak dijual pada harga serendah RM100 atau lebih murah, menyebabkan pelanggan, terutama yang berkeluarga, memilih membeli kelengkapan raya melalui saluran ini.

Dalam tinjauan rawak ke atas 10 orang, lapan daripadanya mengesahkan membeli pakai­an dan kelengkapan Aidilfitri secara dalam talian, khususnya menggunakan TikTok.

Mudah, jimat masa dan ba­nyak pilihan selain penghantaran percuma antara sebab mereka membeli secara dalam talian.

Hanya dua memilih untuk membeli di bazar Aidilfitri, namun lebih kepada ingin merasai suasana sambutan Aidilfitri secara langsung.

Persoalan besar timbul mengenai kelangsungan bazar Aidilfitri, adakah ia akan terus bertahan atau sekadar menjadi lokasi orang ramai mencuci mata tanpa membeli?

Sejumlah peniaga pakaian yang sebelumnya aktif di bazar Ramadan turut mengesahkan memilih berniaga secara dalam talian yang lebih menguntungkan berikutan tidak perlu fikir tentang kos sewa tapak mahal dan logistik yang rumit. – UTUSAN

Ulasan