Kes Ismail Sabri: Tindakan sesetengah ahli UMNO boleh beri implikasi kepada parti


Kes Ismail Sabri: Tindakan sesetengah ahli UMNO boleh beri implikasi kepada parti

10 Mac 2025 09:00am
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Tindakan segelintir ahli UMNO yang menyerang Datuk Seri Ismail Sabri berkaitan kes rasuah wajar diredakan agar tidak memberi implikasi kepada parti Melayu itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, langkah sama ada mempertahankan atau menjarakkan diri dari bekas Naib Presiden itu mungkin dilakukan akibat terkesan dengan tindakan serta keputusan sewaktu bekas Perdana Menteri kesembilan itu mengetuai kerajaan pada Ogos 2021 hingga November 2022.



Sivamurugan

“Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga telah penyatakan pendirian dan kenyataan rasmi untuk membiarkan siasatan diselesaikan (oleh SPRM).

“Maka ada baiknya semua pihak mengambil keputusan lebih berhati-hati dan menanganinya dengan rasional kerana kedudukan beliau (Ismail Sabri) muktahir ini masih sebagai ahli UMNO dan Ahli Parlimen Bera (daripada) Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pemimpin UMNO yang menyokong Ismail Sabri menyifatkan tindakan sesetengah pihak dalam parti yang menyerang bekas Perdana Menteri itu hanya akan merosakkan parti.

Enggan namanya didedahkan, dia berkata, semua pihak sepatutnya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan bukannya cuba ‘menjarakkan diri’ daripada bekas Naib Presiden UMNO itu.

Pada 2 Mac lalu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta hasil pemeriksaan di beberapa lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

Operasi penggeledahan itu dijalankan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai dijadikan safehouse susulan penahanan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri berkenaan.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya membuka kertas siasatan pada awal tahun lepas berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.

Rentetan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil menafikan parti itu mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan berkenaan dan memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan UMNO dengan kes tersebut.

Malah beliau menekankan siasatan harus dijalankan secara telus dan adil tanpa sebarang gangguan.

Ulasan