
Polis terima maklumat baharu kes Zayn Rayyan
BERNAMA - Mac 11, 2025 @ 9:05pm
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menerima maklumat terbaharu berhubung kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang membabitkan satu pautan rakaman video.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, yang memaklumkan beliau telah menerima satu pautan video Tiktok melalui aplikasi WhatsApp.
"Dalam pautan video yang berdurasi lebih kurang satu minit itu menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya iaitu Zayn Rayyan dan adiknya yang berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di Selangor.
"Pengadu berasakan individu yang tidak dikenali ini merakam video dari kawasan Blok Apartmen Idaman yang berhadapan dengan Blok R serta rakaman dibuat dari ketinggian yang menunjukkan bahawa perakam kemungkinan besar adalah penghuni di satu daripada tingkat atas di blok tersebut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
"Ibunya juga percaya bahawa ini bukan satu kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman ini dibuat, Zayn Rayyan ditemukan mati dengan jarak kira-kira 200 meter dari lokasi di mana video telah dirakam.
"Siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan pihak polis memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta mengelirukan masyarakat," katanya.
Pada 6 Disember 2023, mayat kanak-kanak malang itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya dan mangsa dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada leher serta badan Zayn Rayyan akibat mempertahankan diri. – BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan