
SPRM beku 13 akaun bank terkait siasatan kes Ismail Sabri
Oleh NUR AINA HANIS ABD. HALIM
12 Mac 2025, 7:00 am
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 13 akaun bank dianggarkan bernilai RM2 juta berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut sumber, SPRM kini sedang menunggu dokumen-dokumen berkaitan daripada agensi terlibat termasuk pihak bank bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.
Katanya, setakat semalam, seramai 36 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
“Kesemua individu itu membabitkan seramai 32 saksi dan empat orang yang ditahan sebelum ini.
“Seramai 23 saksi baharu akan dipanggil dalam masa terdekat ini manakala empat lagi saksi dalam proses rakaman percakapan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Media sebelum ini melaporkan SPRM melakukan rampasan wang tunai dan jongkong emas, selepas menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan lokasi simpanan oleh pembantu bekas Perdana Menteri itu.
SPRM kemudian merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dengan pelbagai mata wang asing dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta.
Ditanya mengenai status Ismail Sabri yang akan dirakam keterangan esok, sumber berkata, ia bergantung kepada tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
“Hasil soal siasat ke atas doktor yang merawat beliau (Ismail Sabri), kemungkinan boleh dirakam keterangan pada 13 Mac atau sebaliknya kerana doktor tidak dapat mengesahkan tentang keadaan kesihatan beliau. Sekiranya sihat, beliau boleh diambil keterangan,” katanya.
Pada minggu lalu, pegawai penyiasat SPRM menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri bagi mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat lalu, namun beliau dikatakan masih tidak sihat untuk berbuat demikian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses rakaman percakapan tersebut ditunda sehingga 13 Mac kerana masih diberikan sijil cuti sakit.
Ismail Sabri akan hadir buat kali kedua ke Pejabat SPRM Putrajaya, selepas membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Azam dalam sidang akhbar pada 3 Mac lalu mengesahkan Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, sebaliknya adalah seorang suspek dalam kes berkenaan.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan