
Status Nabil, Azad dan Radin bersama Astro Radio ditentukan selepas siasatan selesai
Oleh Hiburan
12 Mac 2025, 12:30 pm
KUALA LUMPUR: Masa depan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Effendy bersama Astro Radio bakal ditentukan selepas siasatan terhadap isu mempersenda agama Hindu membabitkan ketiga-tiga penyampai tersebut berakhir nanti.
Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy memaklumkan, buat masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu kerana siasatan dalaman masih dijalankan.
“Meskipun perkara ini telah diselesaikan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), siasatan dalaman tetap kami teruskan.
“Selepas siasatan ini lengkap nanti barulah kami muktamadkan status ketiga-tiga penyampai berkenaan.
“Buat masa ini, ketiga-tiga mereka masih direhatkan. Isu ini masih panas dan masih memberi tekanan. Kami mahu proses penyelesaian berjalan lancar. Jadi kami tenang-tenangkan mereka dahulu. Sebarang keputusan akan kami umumkan nanti,” katanya yang ditemui sempena majlis berbuka puasa anjuran Zayan dan Era FM semalam.
Nabil, Azad dan Radin dihujani kecaman selepas video seolah-olah mempersendakan agama Hindu membabitkan mereka tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, ketiga-tiga penyampai Era FM itu digantung tugas buat sementara waktu selain syarikat pengendali stesen radio berkenaan, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikenakan kompoun RM250,000.
Rizal dalam masa yang sama memaklumkan keadaan ketiga-tiga penyampai radio terbabit adalah baik setakat ini.
“Kami sentiasa berhubung. Buat masa ini, mereka okey dari sudut luaran. Tapi, saya bukan pakar psikiatri untuk nilai dalaman mereka.
“Setakat ini mereka boleh berborak macam biasa. Tapi saya pasti minda mereka terganggu susulan kejadian ini.
“Perkongsian hati ke hati memang berlaku antara kami kerana hubungan kami rapat. Tapi perkara itu bersifat peribadi dan dikongsikan dalam kalangan kami sahaja,” katanya.
Sementara itu Rizal turut mengesahkan Nabil juga bukan sahaja direhatkan sebagai penyampai dibawah Era FM, malah turut dikecualikan sementara daripada mengendalikan mana-mana program televisyen (TV) terbitan Astro.
“Di bahagian radio, dia memang direhatkan buat masa ini. Untuk TV, saya tidak pasti tempoh dia direhatkan, sama ada sekejap atau pun lebih lama. Itu dibawah keputusan bahagian TV.
“Tapi tiada kekangan untuk dia buat job luar. Pihak kami tidak halang dari segi itu,” jelasnya.
Dalam pada itu juga, Rizal juga memaklumkan pihaknya akan lebih memantau Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada syarikat berkenaan bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Tiada keperluan untuk tambah peraturan, kerana ia sedia memadai. Cuma apa yang diperlukan selepas ini adalah SOP itu lebih dipantau selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan