Tarif baru elektrik: Apa jaminan harga barang tidak naik
March 24, 2025
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mempersoalkan jaminan kerajaan terhadap kemungkinan industri berpindah keluar dari Malaysia serta kesan kenaikan tarif elektrik terhadap harga barang dan kesejahteraan rakyat.
Beliau merujuk kepada kebimbangan industri terhadap kenaikan tarif yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
“Apa jaminan kerajaan bahawa kemungkinan untuk pihak industri beralih daripada Malaysia ke tempat lain disebabkan oleh kenaikan tarif? Dan jaminan kerajaan untuk tidak berlakunya kenaikan harga barang akibat daripada tindakan ini?
“Apakah posibiliti atau tidak kerajaan untuk mengkaji semula andainya berlaku perlakuan negatif ataupun kesan negatif kepada rakyat kemungkinan harga barang dan kesejahteraan rakyat akan terganggu?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, rombakan tarif dilakukan melalui jadual tarif dan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).
“Jadi untuk tempoh tiga tahun (2022-2024), nilaian ICPT sebenarnya agak tinggi sementara domestik kita tak beri pelepasan surcaj di situ.
“Bila kita buat perubahan, elemen ICPT juga berubah kerana perkara yang melibatkan ICPT akan diselaraskan,” katanya.
Pada soalan asal, Senator Hussin meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan kajian terperinci mengenai impak jangka panjang terhadap industri susulan pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik dan jaminan bahawa harga perkhidmatan serta barangan yang dikeluarkan tidak akan membebankan 85 peratus isi rumah. – HARAKAHDAILY 24/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan