Tiga ibu mangsa rempuhan Honda Jazz akan berjuang habis-habisan


Tiga ibu mangsa rempuhan Honda Jazz akan berjuang habis-habisan

11 Mac 2025 06:10pm
Masa membaca: 3 minit

SEREMBAN - Tiga ibu kepada mangsa kemalangan rempuhan kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini Khamis lalu nekad berjuang habis-habisan menuntut keadilan buat anak mereka.

Mereka memaklumkan tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan memastikan si pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.


Difahamkan sudah ada pelbagai pihak yang nyatakan hasrat menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma.

Haslinda Jupri, 44, pastinya menjadi ibu yang paling sedih apabila dua anaknya iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Asraf Adha Abdullah, 14, menjadi mangsa.


Namun dia masih bersyukur apabila salah seorang daripadanya iaitu Muhammad Asraf Adha masih bernyawa dan sedang dirawat di Hospital Tuanku (HTJ).

Meskipun begitu, kesedihan yang membelenggu dirinya yang kehilangan seorang anak membuatkan dia mahu menuntut keadilan atas apa yang terjadi.

"Saya memang nak keadilan untuk anak saya. Tidak akan saya nak biarkan saja anak saya orang dah buat macam itu, seorang dah tiada.

"Saya tidak akan diam? Saya nak orang yang buat anak saya itu, rasa apa yang saya rasa," katanya.

Dia juga mahu kesedihan yang membelenggu dirinya sekarang turut dirasai oleh keluarga si pelaku.

Ibu kepada Allahyarham Muhammad Aswari Lotpi, 16, iaitu Rohani Ab Ghani, 46, pula memberitahu akan lawan habis-habisan kes berkenaan dan pada masa sama turut tidak bersedia berjumpa dengan keluarga serta pemandu Honda Jazz.

"Mereka tak ada datang langsung dan saya juga tak nak berjumpa dengan mereka. Tak ada yang dapat kurangkan kesedihan sebab saya hilang anak dengan cara macam tu.

"Saya akan lawan, saya dah ada peguam yang bantu untuk tujuan itu tapi buat masa ini belum ada perincian mengenainya dan saya serahkan kepada pihak peguam untuk buat apa yang perlu," katanya.

Nurha’afza Salwa Hazizan, 41, yang merupakan ibu kepada Aisar Azim Abdullah, 17, yang merupakan mangsa ketiga yang maut berkata, akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemandu Honda Jazz yang menyebabkan kemalangan tersebut.

"Setakat ini kita memang akan ambil tindakan. Sekarang anak saya dah meninggal dan kawan dia pun dah meninggal dua orang, kita akan lawan sehabis mungkin.

"Kita memang dah ada peguam yang hubungi nak tawarkan khidmat guaman," katanya.

Dalam kejadian 8.30 malam Khamis, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.

Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan Honda Jazz dipandu lelaki berusia 18 tahun gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

Dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari sementara seorang lagi mangsa, Aisar Azim meninggal dunia jam 7.23 malam, Isnin ketika sedang dirawat di HTJ di sini.

Ulasan