Ukraine setuju cadangan gencatan senjata 30 hari dengan Russia



Ukraine setuju cadangan gencatan senjata 30 hari dengan Russia
Oleh Wartawan Luar Negara
12 Mac 2025, 10:30 am

JEDDAH: Ukraine memaklumkan akan menerima cadangan gencatan senjata selama 30 hari dengan Russia yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) ketika delegasi dari Kyiv dan Washington bertemu di Arab Saudi.

“Ukraine menyatakan kesediaan untuk menerima cadangan AS untuk menggubal gencatan senjata sementara 30 hari serta-merta, yang boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama dan tertakluk kepada penerimaan serta pelaksanaan serentak oleh Russia,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas rundingan di Jeddah.

Menurut kenyataan itu, AS akan segera menarik balik jeda perkongsian perisikannya dengan Ukraine, serta menyambung semula bantuan keselamatan dan risikan kepada Kyiv berikutan keputusan itu.

Delegasi Ukraine semasa rundingan itu mengulangi bahawa rakan kongsi Kyiv di Eropah akan terlibat dalam proses damai.

Kedua-dua delegasi bersetuju untuk menamakan pasukan perunding mereka dan segera memulakan rundingan ke arah keamanan berkekalan yang menyediakan keselamatan jangka panjang Ukraine.

Delegasi tersebut turut menekankan kepentingan usaha bantuan kemanusiaan sebagai sebahagian daripada proses damai, terutamanya semasa gencatan senjata yang dicadangkan.


“Akhir sekali, presiden kedua-dua negara bersetuju untuk memuktamadkan secepat mungkin perjanjian komprehensif untuk membangunkan sumber mineral kritikal Ukraine bagi mengembangkan ekonomi negara dan menjamin kemakmuran dan keselamatan jangka panjang di Ukraine,” tambahnya.

Pertemuan antara delegasi AS dan Ukraine diadakan sehari selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky tiba di negara Teluk, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington kini akan mengambil tawaran itu ke Russia dan keputusan kini terletak di tangan Moscow.

“Harapan kami ialah pihak Russia akan menjawab ‘ya’ secepat mungkin, jadi kami boleh sampai ke fasa kedua ini, iaitu rundingan sebenar,” kata Rubio kepada pemberita.

Kremlin melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine tiga tahun lalu dan Russia yang kini mencatat kemaraan, menguasai kira-kira satu perlima daripada wilayah Ukraine, termasuk Crimea, yang telah dianeksasi pada tahun 2014.

Rubio berkata, Washington mahukan perjanjian penuh dengan kedua-dua Russia dan Ukraine secepat mungkin.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang berada di Arab Saudi tetapi tidak mengambil bahagian dalam rundingan itu berkata, gencatan senjata itu adalah cadangan positif, yang meliputi barisan hadapan dalam konflik, bukan hanya pertempuran melalui udara dan laut.-AGENSI

Ulasan