ULASAN | Soalan buat PKR: Siapa tinggalkan siapa?



Berita
ULASAN | Soalan buat PKR: Siapa tinggalkan siapa?
Diterbitkan: Mar 12, 2025 11:50 AM
Dikemaskini: 12:12 PM

Saya merujuk kepada kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, yang mempertikaikan keputusan Parti Warisan Sabah untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.

Kenyataan ini menggambarkan seolah-olah pendirian Warisan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak jelas, sedangkan realitinya Warisan menunjukkan pendirian yang konsisten sejak sekian lama.

(1) Warisan konsisten menyokong Anwar Ibrahim

Sejak Langkah Sheraton, Warisan tidak pernah berpaling daripada sokongannya kepada YAB Anwar.

Ketika kerajaan bertukar dari Muhyiddin Yassin ke Ismail Sabri Yaakob, Warisan tetap dengan pendiriannya menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.

Maka, tidak wajar untuk mempersoalkan kesetiaan Warisan dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh beliau.

(2) Pendekatan Warisan di Sabah demi prinsip dan semak imbang

Dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri, Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, dengan jelas menyatakan bahawa Warisan memilih untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri Sabah.

Ini adalah demi memastikan proses semak dan imbang yang lebih kukuh bagi kepentingan rakyat Sabah.

Warisan bukan parti yang menikam rakan dari belakang.

Apabila Pakatan Harapan (PH) memilih untuk membentuk kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan mengambil keputusan untuk kekal dengan prinsipnya sebagai pembangkang.

Oleh itu, agak menghairankan apabila Lee tiba-tiba menunjukkan reaksi terkejut terhadap pengumuman Warisan untuk bertanding secara solo.

(3) Siapa sebenarnya yang meninggalkan siapa?

PH dan Warisan pernah bekerjasama erat di Sabah, malah ada calon PH yang bertanding menggunakan logo Warisan dalam pilihan raya lalu.

Ketika Warisan ditawarkan untuk menyertai Kerajaan Persekutuan semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, Warisan menolak dan memilih untuk terus bersama PH sebagai pembangkang.

Namun, apabila BN menarik sokongan terhadap kerajaan GRS di Sabah, PH memilih untuk meninggalkan Warisan dan membentuk kerajaan bersama GRS.

Oleh itu, adalah wajar untuk bertanya – siapa sebenarnya yang meninggalkan siapa?

(4) Jika di Sarawak PH boleh menjadi Pembangkang, mengapa tidak di Sabah?

Di Sarawak, PH bukan sebahagian daripada kerajaan negeri kerana GPS tidak menerima PH sebagai rakan kongsi.

Malah, PH mengumumkan bahawa mereka akan bertanding dalam PRN Sarawak menentang GPS.

Jika GPS tidak dipersoalkan tentang kesetiaannya kepada Kerajaan Perpaduan meskipun tidak menerima PH di peringkat negeri, mengapa Warisan pula dipersoalkan hanya kerana memilih untuk bertanding secara solo di Sabah?

Jika PH boleh menentang GPS di Sarawak, mengapa Warisan tidak boleh menentang PH dan sekutunya GRS di Sabah?

Tetap konsisten

Pendirian Warisan jelas dan tidak berubah – kami menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun di Sabah, kami memilih untuk kekal dengan prinsip kami sebagai pembangkang.

Ini bukan soal kesetiaan tetapi soal konsistensi dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat Sabah.

Oleh itu, kami berharap agar semua pihak menghormati pendirian Warisan sebagaimana kami menghormati hak rakan-rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk membuat keputusan mereka sendiri.

MOHD AZIS JAMMAN ialah ketua penerangan Warisan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Ulasan