Wanita didakwa bunuh anak asuhan




Wanita didakwa bunuh anak asuhan
NUR Nabilah Sekh Ruslan diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang.
Oleh . NORHAFIZAN ZULKIFLI
12 Mac 2025, 12:04 pm

KUANTAN: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah rumah di Perumahan Bukit Rangin, bulan lalu.

Tertuduh, Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyna Othman. Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian anak asuhannya itu antara pukul 6 petang hingga 8 malam, 17 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Terdahulu media melaporkan, polis menahan enam individu termasuk pasangan suami isteri susulan kematian kanak-kanak perempuan pada 26 Februari lalu.

Berdasarkan laporan, pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan kerana tidak sedarkan diri kira-kira 10 malam, 19 Februari lalu.

Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki yang ketika itu mangsa ditempatkan di zon merah untuk pemeriksaan susulan bagaimanapun kanak-kanak berkenaan meninggal dunia pada keesokannya. – UTUSAN

Ulasan