Wanita Kelantan beli 500kg emas sebulan



Wanita Kelantan beli 500kg emas sebulan
WANITA Kelantan membeli emas untuk dipakai dan simpanan masa kecemasan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Oleh YATIMIN ABDULLAH
11 Mac 2025, 6:50 am

KOTA BHARU: ‘Kegilaan’ wanita Kelantan atau Mek Kelate membeli emas untuk dijadikan perhiasan atau simpanan menyaksikan kira-kira 500 kilogram (kg) barangan kemas dijual setiap bulan di negeri ini.

Jumlah itu menunjukkan bahawa penawaran dan permintaan barangan kemas dalam kalangan wanita Kelantan sa­ngat tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Pengerusi Taman Emas Malaysia, Zulkifli Idris berkata, berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada pengilang, jualan emas di Selangor dan Kuala Lumpur jika digabung belum mampu menandingi nilai jualan barangan kemas di negeri ini, iaitu sekitar 400kg.

Beliau berkata, mengambil kira harga emas ketika ini, jualan emas di Kelantan dianggarkan berjumlah RM200 juta sebulan.

Katanya, permintaan tinggi terhadap barang kemas itu dipengaruhi tahap kesedaran tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini yang menjadikan emas sebagai simpanan.

“Budaya jual beli emas bukanlah perkara asing buat Mek Kelate. Ia sudah menjadi budaya sejak dahulu apabila mereka (wanita) menjadikan emas sebagai simpanan selain dana untuk perniagaan.


“Anda mungkin pernah men­dengar pepatah yang se­ring diungkapkan oleh golongan wanita iaitu simpanlah emas walau sebesar ‘janggut udang’. Ini menunjukkan bahawa Mek Kelate dan emas tidak boleh dipisahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulkifli berkata, perkembangan itu menjadikan perniagaan emas di negeri ini dilihat lebih mudah berbanding tempat lain.

“Ini kerana budaya membeli dan menyimpan barangan kemas sudah sebati dengan Mek Kelate sekali gus menjadikan perniagaan itu tidak perlu dipromosi. Kebanyakan bekalan emas yang dijual di nege­ri ini diambil dari luar Pulau Pinang,” ujarnya.

Zulkifli berkata, kepelbagaian reka bentuk yang menarik dan unik turut mempengaruhi jualan emas di negeri ini apabila anak-anak Kelantan di perantauan memilih pulang dan membeli barangan kemas di tempat mereka sendiri.

Katanya, kemahiran dan kua­liti barang kemas yang dihasilkan oleh tukang-tukang emas menambah daya tarikan kepada Mek Kelate untuk membeli emas.

“Dengan hampir 300 kedai emas dan bengkel pertukangan di seluruh Kelantan sudah cukup membuatkan Mek Kelate ‘mabuk’ dengan pilihan corak dan reka bentuk barang kemas yang ditawarkan.

“Permintaan emas dijangka lebih tinggi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Seorang penggemar barang kemas yang mahu dikenali sebagai Tie, 45, berkata, pendedahan sejak kecil menjadikan golongan wanita Kelantan ‘mesra emas’.

“Prinsip orang Kelantan, su­sah macam mana sesebuah keluarga itu mereka mesti memiliki seutas barang kemas se­perti rantai atau sebentuk cincin. Bagi penduduk di sini emas adalah ‘penyambung hayat’ mereka ketika berdepan kesulitan.

“Kelebihan emas ini, nilainya stabil dan mudah untuk dipajak atau dijual. Jadi berdepan sebarang kesulitan mereka tidak perlu berhutang, sebaliknya boleh pajak barang kemas,” katanya.

Tie berkata, kepentingan menyimpan emas terus disebarkan kepada anak-anaknya sejak mereka masih kecil.

“Alhamdulillah empat anak saya masing-masing sudah mempunyai simpanan dalam bentuk barang kemas. Saya gunakan duit raya yang mereka peroleh untuk membeli barang kemas walaupun sekadar sebentuk cincin.

“Bagi emas fizikal adalah simpanan terbaik untuk masa hadapan kerana harganya stabil,” ujarnya.

Kandungan emas dari jenis 916 yang tinggi dalam proses bancuhan dan pembuatan barang kemas menjadikan perhiasan wanita itu lebih berkualiti berbanding produk keluaran negeri-negeri lain di Malaysia.

Selain itu, warna kuning emas yang timbul semasa proses bancuhan menjadi daya penarik membuatkan golongan wanita menjadi tidak keruan untuk memiliki perhiasan tersebut.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr. Mohd. Nazri Muhayiddin yang melihat ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh tukang dalam menghasilkan ketulenan campuran emas dengan aloi membuatkan barangan kemas di negeri ini lebih berkualiti berbanding tempat lain. – UTUSAN

Ulasan