Zamri hormati keputusan Saravanan tarik diri debat

Zamri hormati keputusan Saravanan tarik diri debat

11 Mac 2025 04:42pm
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu menegaskan, beliau menghormati keputusan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menarik diri daripada debat dirancang kerana menitikberatkan kedamaian.

Susulan itu, beliau menyatakan kesediaan untuk menyahut sebarang cabaran debat atau dialog ilmiah dan matang daripada sesiapa sahaja.


“Saya Muslim dan saya ada 'Izzah Islamiah' dalam diri, jika dicabar kami sahut namun jika pencabar mengakui silap serta menarik diri kami menghormati keputusan tersebut kerana apa yang kami inginkan adalah kedamaian.

“Ya sudah tentu saya masih terbuka untuk berdebat, bukan hanya kepada beliau tetapi sesiapa sahaja termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.



“Jika mereka mencabar kembali untuk debat mahupun dialog secara ilmiah dan matang saya akan sahut cabaran mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Saravanan memutuskan untuk tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan Muhammad Zamri demi menjaga perpaduan negara.

Saravanan berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Dalam pada itu, Muhammad Zamri berpendapat, debat sepatutnya dijadikan medan untuk mematangkan pemikiran masyarakat dengan membincangkan sesuatu isu secara rasional, bukan mencetuskan kekecohan di jalanan atau mengapi-apikan sentimen perkauman.

Bagaimanapun, beliau menerima keputusan penarikan diri Saravanan dengan baik dan berpendapat tiada keperluan memaksa seseorang yang telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan.

“Secara peribadi saya menganggap sepatutnya boleh dijadikan satu medan untuk mematangkan minda masyarakat ke arah pemikiran Madani di mana bila kita ada masalah, kita boleh duduk berbincang daripada buat kecoh di jalanan serta mengapikan sentimen perkauman.

“Walau bagaimanapun saya menyambut baik penarikan diri beliau yang tidak mahu meneruskan debat. Apa guna kita paksa orang yang telah tarik diri.

“Nasihat saya ahli politik lebih-lebih lagi dari blok kerajaan seharusnya menjadi pendamai bukannya batu api dan penghasut kaum sendiri!” ujarnya.

Ulasan