Bawani calon PSM kembali bertarung di Ayer Kuning



Berita
Bawani calon PSM kembali bertarung di Ayer Kuning

Diterbitkan: Apr 8, 2025 3:15 PM
Dikemaskini: 3:21 PM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus mempertaruhkan tenaga muda dan berprinsip mereka, Bawani KS, sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan berlangsung di Tapah, Perak.

Ini kali kedua Bawani dicalonkan oleh PSM selepas dia bertanding pada pilihan raya umum lalu dalam pertandingan lima penjuru di DUN sama.

Walaupun tewas ketika itu, keberaniannya tampil sebagai suara alternatif menjadikan dia pilihan PSM.

Bawani anak jati Ayer Kuning dikenali masyarakat setempat sebagai pejuang isu rakyat. Dia tampil mewakili platform ‘suara ketiga’ yang cuba membawa naratif baru dalam landskap politik negeri.

Gambar fail, Bawani ketika menjadi calon PSM pada PRU lalu.

Pemilihan semula Bawani sebagai calon diumumkan oleh Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah pada 22 Feb lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Sementara itu, Bawani KS memperoleh 586 undi, berada di kedudukan keempat dan hilang wang deposit.

Semalam BN menamakan Setiausaha Umno Bahagian Tapah Yusri Bakir, berusia 54 tahun sebagai calon mereka.

PN setakat ini masih belum mengumumkan calon mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian dilaksanakan pada 26 April.

Bagi pengundian awal, SPR menetapkan ia berlangsung pada 22 April.

Ulasan