Excuse me Mr O’Reilly? Hang mai dari lubang mana?
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
21 April 2025, 6:30 am
KECELUPARAN seorang pengulas politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly yang mengatakan bahawa orang Melayu tidak mampu membeli barangan dari China telah meningkatkan kemarahan sebahagian besar rakyat.
Kenyataan bekas hos Fox News yang serong kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertujuan memperlekehkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dan dua negara ASEAN lain.
Dalam hantaran di X, dia mengatakan penduduk di negara-negara yang dilawati oleh Xi itu termasuk menyebut ‘Melayu’ sebagai tidak ada wang untuk membantu China yang kini dikenakan tarif lebih 200 peratus oleh AS.
“Mungkin dia pergi ke sana untuk cuba seludup barang China bawah label Vietnam. Tapi itu akan mudah terbongkar. Kamu tahu… China kehilangan pasaran AS, tetapi saya percaya ia masih boleh dibaiki. Tapi kini (ekoran lawatan Xi ke Asia Tenggara) ia sudah rosak. Ia betul-betul kacau.
“Sebab kami ada duit, kami beli barang. ‘Orang Melayu’ tidak akan beli barang anda, mereka tiada duit,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan O’Reilly dangkal dan ketinggalan zaman. “Gambaran sikap ekstrem dan keangkuhan seorang (Bill O’Reilly) yang sebenarnya dangkal ilmu dan jahil. Mereka anggap hanya kelompok dia dan negeri dia sahaja yang paling berjaya.
“Tentunya dia tidak ada kefahaman sama sekali tentang Asia, tentang ASEAN serta tentang perkembangan baru,” katanya
Banyak lagi pihak termasuk golongan bukan Melayu turut “appalled” atau menyatakan bantahan terhadap kenyataan O’Reilly itu. Sebelum ini Naib Presiden AS JD Vance memanggil rakyat China sebagai “Chinese peasants” (petani China) yang mengeluarkan produk yang dibeli AS. Kenyataan Vance itu menimbulkan kemarahan rakyat negara kedua paling ramai di dunia itu.
Kenyataan O’Reilly mengenai orang Melayu mungkin benar jika diucapkan 40 tahun lalu. Ketika itu jumlah profesional Melayu adalah kecil. Di universiti, kursus profesional seperti perakaunan atau senibina hampir tiada Melayu.
Malaysia atau Melayu tidak lagi lekeh. Pendapatan per kapita rakyat Malaysia adalah AS$1,852 pada 1980 tetapi hari ini ia adalah AS$11,648. Jika ASEAN rantau yang melarat, tidak mungkin ia mengimport AS$409.47 bilion produk dari China pada 2023.
Jika Malaysia terlalu miskin, tidak mungkin negara mengimport barangan bernilai AS$273B, iaitu pengimport ke-25 terbesar di dunia atau pengeksport ke-19 terbesar di dunia dengan nilai AS$383 bilion dan adalah ekonomi yang ke-37 terbesar di dunia.
Malaysia menghasilkan produk yang mengkayakan gergasi AS. Mungkin tidak semua orang Melayu mampu tinggal di Bukit Damansara atau Hartamas tetapi mereka tidak papa kedana sehingga tidak mampu membeli barangan dari China.
Orang Melayu yang tinggal dari hujung sempadan Kedah hingga ke Johor, ada sawah, bendang, tanah kampung, dusun dan tanah tapak rumah, jika digabungkan nilai sebenar semua harta ini, ia boleh mencecah ratusan bilion. Itu kekayaan orang Melayu yang tidak pernah dinilai.
Orang Melayu akan menjadi lebih baik pada masa hadapan dan individu dangkal seperti O’Reilly akan terus kekal dalam kedangkalan.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan