Jalur Gemilang tanpa bulan sabit: Mereka ini bodoh, kata Kadir



Berita
Jalur Gemilang tanpa bulan sabit: Mereka ini bodoh, kata Kadir

Diterbitkan: Apr 17, 2025 12:18 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Tokon Wartawan Negara, A Kadir Jasin menyifatkan penyiaran gambar Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit oleh akhbar Sin Chew Daily, pada Selasa lalu sebagai sangat bodoh.

Katanya, jika penyiaran grafik itu disengajakan maka dia menganggap mereka ini sama ada sangat bodoh, sangat jahat atau sangat berani.

“Tapi, kalau tidak disengajakan, mereka ini sama ada bodoh kerana tidak kenal bendera negara sendiri atau mereka buat kerja sambil lewa dan sistem penyuntingan serta kawalan dalaman mereka sangat lemah iaitu mereka tidak profesional,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times itu mengulas kekhilafan Sin Chew Daily yang menerbitkan ilustrasi muka depan jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini.

Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit.

Namun, setelah menyedari kekhilafan itu, Sin Chew Daily segera memohon maaf atas "kesilapan teknikal" tersebut. Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.



Ia kemudian membetulkan ilustrasi di versi digital dan menerbitkan semula ilustrasi yang diperbetulkan dalam edisi cetakannya hari ini.

Justeru, kata Kadir, memandangkan akhbar berkenaan telah memohon maaf, maka daripada sudut etika kewartawanan, mereka sudah melakukan apa yang perlu.

“Oleh sebab mereka sudah mengaku silap, minta maaf secara terbuka dan siarkan permohonan maaf itu di akhbar mereka maka daripada sudut etika kewartawanan, mereka sudah melakukan apa yang perlu,” katanya.

Menurut wartawan veteran ini lagi, hal seperti ini lebih sesuai diadili oleh Majlis Media Malaysia daripada menjadi isu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia (SKMM).

“Jadi, sangatlah baik kalau penubuhan Majlis Media Malaysia ini boleh disegerakan,” katanya lagi.

Bendera Malaysia terdiri daripada garisan 14 jalur merah dan putih berselang-seli dan lambang bulan sabit dan bintang 14 mata yang dikenali sebagai bintang Persekutuan.

14 jalur, dengan lebar yang sama, mewakili status yang sama dalam persekutuan 13 negara anggota dan wilayah persekutuan, manakala 14 titik bintang mewakili perpaduan antara entiti ini.

Bulan sabit pula mewakili agama Islam sebagai agama persekutuan.

Ulasan