
Peradaban manusia purba di Lenggong
Oleh FADZIL ZAINOL
13 April 2025, 7:00 am
LENGGONG: SEMASA musim cuti panjang, pasti ramai menggunakan laluan yang merentasi Banjaran Titiwangsa menghubungkan Kuala Kangsar, Perak dan Jeli, Kelantan.
Sepanjang 200 kilometer menerokai laluan yang dikelilingi hutan belantara, pengguna akan melalui beberapa daerah utama seperti Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu di bahagian Perak.
Mungkin ramai tidak mengetahui satu daripadanya mempunyai rekod hidupan manusia purba tertua di dunia selain di Afrika.
Kawasan tersebut adalah Lenggong iaitu daerah kecil pertama dilalui dari Kuala Kangsar yang menurut kajian, telah wujud kehidupan manusia purba di situ kira-kira dua juta tahun lalu.
Kekayaan sejarah Lenggong sudah cukup dibuktikan dengan penemuan rangka manusia purba, Perak Man.
Rangka manusia hampir sempurna itu ditemukan Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Prof. Emeritus Datuk Dr. Siti Zuraina Abdul Majid.
Ia ditemukan pada 1991 di Gua Gunung Runtuh dan dipercayai hidup 10,000 hingga 11,000 tahun lalu. Perak Man menjadi ikon Lenggong yang cukup untuk menceritakan perkembangan sejarah kawasan tersebut.
Di situ juga terdapat bukti hentaman meteorit yang menghentam kawasan Bukit Bunuh, Lenggong kira-kira 1.83 juta tahun lampau.
Hentaman dahsyat itu dipercayai melenyapkan kewujudan terawal manusia purba prasejarah dan hidupan lain pada waktu itu.
Tamadun manusia berkembang semula pada 550,000 tahun lalu dan sekali lagi termusnah akibat letusan gunung berapi Toba, Sumatera pada 74,000 tahun lampau. Sejak 14,000 tahun lalu, manusia mulai tinggal di gua batu kapur di Lenggong.
Malah di Bukit Sapi, terdapat taburan debu gunung berapi Toba yang telah diterbangkan sewaktu letusan berlaku.
Pelancong boleh mendapatkan segala maklumat itu di Galeri Lenggong Geopark yang telah dimasyhurkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Mac 2024.
Kewujudan galeri itu merupakan anjakan paling signifikan dalam tempoh kebelakangan ini untuk memberi gambaran penuh tentang Lenggong.
Pengunjung yang ditemui Mingguan Malaysia, Mohd. Norzaimi Nawawi, 43, memuji dan kagum terhadap pengisian galeri kerana mencetuskan rasa minat kepada dirinya serta keluarga untuk menerokai Lenggong dengan lebih mendalam.
“Saya sendiri berasal dan tinggal di Perak tidak tahu tentang sejarah ini. Ia bagus untuk anak-anak kerana maklumat yang ada adalah menarik dan tidak membosankan,” katanya.
Pembinaan itu memberi nafas baharu atau memodenkan pusat sumber maklumat di Lenggong yang sebelum ini hanya mempunyai Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
Sejarah didedahkan kepada pengunjung bukan setakat tentang manusia, malah mengenai struktur batuan yang dapat memberi gambaran pembentukan muka bumi Lenggong sejak dulu.
Mengikut perkongsian dalam laman web Majlis Daerah Lenggong (MDL), antara cerita bagaimana panggilan Lenggong itu wujud ialah dengan mengambil nama orang yang mula-mula meneroka dan mendiami kawasan tersebut.

di Lenggong. – MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
TASIK RABAN
Keunikan Lenggong tidak sahaja tertumpu kepada latar belakang zaman lampau. Malahan lipatan sejarah sebelum kemerdekaan juga ada cerita tersendiri, termasuk bagaimana terbentuknya Tasik Raban.
Tasik Raban akan dilalui oleh pengguna jalan raya dari Kuala Kangsar ke Gerik khususnya ketika menggunakan Jambatan Raja Muda Nazrin yang dibuka pada 2007.
Tasik buatan berkeluasan 25.9 kilometer persegi itu dikatakan terbentuk sejak hampir 100 tahun lalu hasil pembinaan Empangan Chenderoh iaitu projek hidro elektrik tertua dalam negara yang dibuka pada 1930.
Mengikut sejarah, ia terhasil ekoran limpahan air Sungai Perak setelah empangan tersebut didirikan. Malah diceritakan di dasar tasik itu dahulunya terdapat sebuah perkampungan.
Percantuman Tasik Raban, Tasik Chenderoh dan Sungai Perak membentuk muka bumi yang cantik, kaya dengan flora dan fauna untuk mencipta peluang ekonomi serta pengkajian berterusan sejarah Lembang Lenggong, selain mempengaruhi cara hidup penduduk setempat.
Selain terciptanya Tasik Raban, hasil limpahan Sungai Perak akibat disekat oleh projek empangan hidroelektrik Chenderoh pada 1920 itu juga membentuk puluhan pulau kecil.
Keadaan luar biasa itu sama sekali mengubah ekosistem dan bentuk muka bumi di Lembah Lenggong seperti dilihat pada hari ini.
Jika sesiapa menggunakan kamera dron, pemandangan dari atas yang diperoleh tidak ubah seperti melihat hutan Amazon di Amerika Selatan (AS).
Ia menjadi sebab mengapa kawasan Lembah Lenggong khususnya Tasik Raban serta Sungai Perak dan beberapa perkampungan di sekitarnya disebut sebagai ‘Mini Amazon’.
Mini Amazon tertumpu di sekitar Kampung Beng iaitu sebuah perkampungan terpencil pedalaman Lenggong yang jaraknya 15 kilometer dari pekan utama atau pusat pentadbiran daerah.
Perkampungan itu popular sebagai lokasi yang menyediakan perkhidmatan bot buat kaki pancing atau pelancong yang mahu melayari Sungai Perak.
Malah disediakan rumah inap kepada mereka yang mahu tinggal di situ beberapa hari.
Pengunjung, Badrul Akram Badaruddin, 32, berkata, keunikan Kampung Beng serta Lenggong yang dikelilingi air sangat tenang dan tiada di tempat lain.
“Pandangan peribadi saya, aktiviti kayak memang sangat puas hati dan tidak dapat di tempat lain. Pemandangan matahari terbenam memang terbaik untuk orang macam saya yang minat mengambil gambar,” katanya.
MURID-murid menaiki bot untuk ke sekolah melalui Tasik Raban yang lebih memudahkan perhubungan penduduk di sekitar tasik tersebut. – MINGGUAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

PENDUDUK SELESA GUNA SAMPAN
Kampung Beng boleh diakses melalui jalan air dari Jeti Pengkalan Pipit menerusi Sungai Perak atau menggunakan laluan darat dari Kampung Luat.
Ada kelompok daripada 3,000 penduduk sekitar masih berpegang amalan tradisional termasuk berulang-alik dengan menggunakan bot terutama mereka yang tinggal di beberapa perkampungan sekitar Sungai Perak tanpa jalan darat.
Tinjauan Mingguan Malaysia menyaksikan, penduduk termasuk segelintir murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beng pergi dan balik menggunakan kemudahan tersebut.
Mereka perlu bersiap awal pagi dan menaiki bot menyeberangi sungai untuk hadir ke sekolah, kadangkala terpaksa menunggu lama sebelum boleh menaiki bot pulang ke rumah jika cuaca hujan lebat.
Pengangkutan sampan atau bot merupakan nadi buat penduduk sama ada untuk mencari rezeki menangkap ikan, sebagai teksi atau menyediakan perkhidmatan bot pelancong serendah RM20 seorang.
Setiap rumah yang berada di tebing sungai selalunya akan memiliki bot sendiri, umpama memiliki kereta.
Jelas seorang penduduk, Mohd. Abdullah Abu Bakar, 61, media sosial berjaya merancakkan lagi aktiviti perairan di kawasan tersebut kerana semakin ramai pelancong yang hadir untuk rekreasi, sekali gus meningkatkan penggunaan bot.
Namun, kadangkala nasib tidak menyebelahi mereka kerana ada masanya air surut berpanjangan sehingga mengehadkan untuk sebarang aktiviti dijalankan.
Perairan di Lenggong itu juga ada sejarah tersendiri, pernah menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood, ‘Anna and The King’ pada 1999 yang mengisahkan seorang guru wanita British mengajar pewaris Raja Siam berbahasa Inggeris.
Kampung Beng yang berdekatan dengan Tasik Raban juga pernah menjadi lokasi rakaman iklan Hari Raya Aidilfitri pada 2003 yang mengisahkan seorang ibu tunggal dengan tujuh orang anaknya gigih mencari daging sebagai persiapan Syawal.
Pemilihan lokasi ini sangat tepat kerana terdapat banyak rumah lama masyarakat Melayu yang berusia lebih 70 tahun. Hari ini masih ada rumah lama yang wujud meskipun tidak lagi berpenghuni.
Disebabkan muka bumi berbukit, terdapat beberapa lokasi berketinggian melebihi 500 meter dari paras laut yang boleh dikunjungi untuk menikmati pemandangan Banjaran Titiwangsa dan Tasik Raban.
Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 serta lokasi Geopark Kebangsaan 2021.
SEKITAR Tasik Raban yang dihias dengan landskap menarik bagi menceriakan lagi kawasan itu.

KAITAN LENGGONG DENGAN AMAZON
Bagi penduduk Perak sendiri, mengaitkan Lenggong dengan hutan Amazon memang tidak pernah difikirkan sebelum ini.
Namun hal itu berubah sejak sedekad lalu, apabila semua bentuk promosi tentang Lenggong, Tasik Raban dan Kampung Beng telah dikaitkan dengan Amazon atau digelar Mini Amazon.
Seorang pengusaha bot dan rumah inap, Roslan Abdul Rahman, 56, menceritakan, asal-usul Kampung Beng dikaitkan dengan Amazon bermula apabila kampung itu menjadi tumpuan para pemancing, 10 tahun lalu.
Para pemancing amat menggemari kawasan itu kerana kaya dengan sumber ikan air tawar seperti kaloi, baung, toman, loma, tenggalan dan lampam, selain haruan serta sebarau.
Dia yang pulang ke Kampung Beng pada 2010 setelah sekian lama bekerja di Lembah Klang, sering dikunjungi oleh rakan-rakannya yang meminati aktiviti memancing.
Jelasnya, kesan pembinaan Empangan Chenderoh telah mengubah permukaan air hasil limpahan Sungai Perak yang mewujudkan anak-anak sungai dan teluk kecil di kawasan tersebut.
“Apabila melalui anak-anak sungai, laluan sangat sempit dan penumpang bot terpaksa menundukkan kepala untuk mengelakkan dahan pokok. Kaki pancing dan rakan-rakan umpamakan pengalaman itu seperti di Amazon,” katanya.
Selain itu, katanya, pemancing juga mengaitkan lokasi itu sebagai Amazon kerana kehadiran ikan pemangsa peacock bass atau ikan raja yang berasal dari Amazon atau AS.
Beliau percaya ikan asing itu telah dilepaskan dalam perairan Sungai Perak satu masa dahulu dan membiak.
Atas dorongan rakan-rakan, Roslan berkata, dia bersama beberapa orang lagi di situ cuba memperkenalkan Kampung Beng sebagai Mini Amazon.
Katanya, gelaran Mini Amazon itu kini diguna pakai secara meluas untuk mempopularkan perairan Lenggong bagi menarik pelancong.
EKONOMI SETEMPAT
Keunikan muka bumi itu tidak sekadar memenuhi selera pelancong semata-mata, malah menjadi punca ekonomi buat penduduk Lenggong yang rata-ratanya dalam kelompok berpendapatan rendah.
Semasa menuju ke Gerik dari Kuala Kangsar, ramai akan melihat banyak papan iklan ikan pekasam di bahu jalan, itu bermakna anda telah sampai di Lenggong.
Ikan pekasam adalah satu daripada makanan popular tradisi orang Melayu di Lenggong dan sekitarnya berhampiran Sungai Perak.
Makanan itu juga menjadi sumber ekonomi buat masyarakat tempatan seperti Kiah Abdullah, 66, yang kini berniaga dengan jenama Kiah Pekasam.
Penghasilan produk itu merupakan antara kegiatan ekonomi penduduk hasil daripada sumber air sama ada dari Tasik Raban atau Sungai Perak.
Antara perniagaan popular di situ adalah perkhidmatan pelancongan seperti penyediaan bot, rumah inap, tempat rekreasi dan aktiviti lasak serta pengangkutan pelancong.
Ikan pekasam dan beberapa restoran merupakan antara perniagaan industri hiliran yang dipacu oleh aktiviti penangkapan ikan.
Kesemua itu berjaya mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan memandangkan Lenggong terletak jauh dari bandar-bandar utama di Perak.
Selain itu, terdapat pelbagai kegiatan rekreasi seperti menaiki bot, sukan air dan beberapa lagi aktiviti lasak meneroka gua atau hutan mahupun mendaki bukit.
Roslan berkata, rumah inap yang disediakannya di Kampung Beng sering penuh ditempah pelancong. Malah, perkembangan tersebut juga memberi manfaat kepada penduduk tempatan untuk menjadikan perkhidmatan bot sebagai punca pendapatan.
Dalam merancakkan ekonomi setempat, kerajaan negeri melalui agensinya turut mengadakan pelbagai aktiviti demi menggalakkan pelancongan tani atau agropelancongan.
Tahun Melawat Perak 2024 juga dilaksanakan dengan beberapa penumpuan diberikan terhadap Lenggong terutama berkaitan agropelancongan.
Pada Oktober 2023, sebanyak 172,500 ekor benih ikan dilepaskan dari Jeti Nelayan Darat Kampung Luat ke Sungai Perak yang bakal memberi manfaat kepada para nelayan.
Pelepasan benih itu melibatkan lampam sebanyak 15,000 ekor, baung (12,500), terbul (50,000), kerai (1,000), temoleh (1,000) serta 93,000 ekor udang galah.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, langkah menjadikan Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani akan difokuskan kepada pembekalan air dan kecekapan internet untuk penduduk serta lokasi-lokasi pelancongan.
Dalam kesungguhannya mempromosikan Lenggong, Shamsul Anuar turut menulis lirik lagu bertajuk ‘Kedamaian Lenggong’ yang dinyanyikan oleh Mohd. Azmir Muhammad Yusof atau Amir, vokalis kumpulan Ukays.
Aktiviti menangkap ikan di Tasik Raban antara kegiatan ekonomi penduduk setempat di sekitar tasik tersebut.

MASA DEPAN
Di Malaysia terdapat empat lokasi yang mempunyai status Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu di Miri, Sarawak; Taman Negara Kinabalu di Sabah dan ketiga ialah bandar bersejarah Melaka serta George Town di Pulau Pinang.
Lokasi keempat adalah Lenggong yang memperoleh pengiktirafan tersebut pada 2012.
Namun, ramai kalangan penduduk setempat sendiri tidak tahu atau tidak jelas tentang kepentingan pengiktirafan tersebut dan sejak sekian lama tidak begitu banyak promosi yang diadakan.
Sedikit sejak akhir-akhir ini dapat disaksikan beberapa penumpuan diberikan terhadap Lenggong sebagai destinasi pelancongan.
Pembukaan Galeri Lenggong Geopark merupakan tindakan terbaik seiring dengan status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pemilihan Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini semestinya menyuntik pembangunan di Lenggong.
Beberapa bentuk pelaburan berkaitan pembangunan prasarana dan kemudahan turut diumumkan dengan hasrat dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Yang Dipertua MDL, Mohd. Amzari Mohd. Arzami berkata, pihaknya sedang berusaha meningkatkan lagi kemudahan pengangkutan supaya dapat menarik pelancong dari stesen-stesen utama pengangkutan awam di Perak serta Pulau Pinang.
Pelan yang dirangka untuk menjadikan Lenggong sebagai Tapak Geopark Global UNESCO pula bakal mengukuhkan daerah itu dalam peta dunia.
Segala komitmen itu akan memberi hala tuju buat pembuat dasar dan pemain industri dalam merencana pembangunan dan penjagaan kualiti Lenggong sebagai sebuah destinasi pelancongan, sejarah dan kaya dengan flora dan fauna.
Ini akan mengekalkan segala status antarabangsa yang diperoleh sebelum ini dan membuka pintu untuk pengiktirafan lain.
Difahamkan juga, beberapa sesi penerangan dibuat untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai termasuk golongan pengajar berkenaan keunikan Lenggong.
Nilai sejarah ribuan tahun dimiliki Lenggong selayaknya diangkat dan diketengahkan setanding penceritaan sejarah negara lain. – MINGGUAN
Ulasan
Catat Ulasan