Wakil Samsuri hantar memorandum kepada Suhakam bantah TCO



Berita
Wakil Samsuri hantar memorandum kepada Suhakam bantah TCO

Diterbitkan: Apr 21, 2025 8:48 PM
Dikemaskini: 8:50 PM


Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar menghantar dua wakil bagi menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu Travel Control Office/Order (TCO) yang didakwa dikenakan terhadapnya.

Setiausaha politiknya, Mohd Soud Said dan peguam Hajjah Kamilia Ibrahim menyerahkan memorandum itu bagi membantah apa yang disifatkan Samsuri sebagai "pengawasan melampau" dan intimidasi politik yang mencabuli hak asasinya.

"Melalui memorandum ini, saya berharap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dihentikan segera.

"Saya juga menyeru agar institusi-institusi penguatkuasaan diperkukuh dengan prinsip kebertanggungjawaban, agar tiada lagi pemimpin atau rakyat menjadi mangsa tekanan politik bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada 10 April lalu, Samsuri mendakwa dia telah ditandai di bawah TCO – satu penetapan keselamatan dalam negara terhadap individu yang dikatakan dianggap sebagai “berisiko” atau “ancaman”.


Dia juga mendakwa dirinya diekori dan talian telefonnya dipasang alat pemantauan.

Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan tersebut, dengan menyatakan bahawa semua VIP termasuk dirinya, berada di bawah pemantauan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail turut menjelaskan bahawa sebagai ketua kerajaan negeri, Samsuri memang diberikan pengiring keselamatan pada setiap masa, maka pemantauan tambahan tidak diperlukan.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain kemudian menjelaskan bahawa TCO sebenarnya merujuk kepada "pegawai kawalan perjalanan" – iaitu pegawai polis dari Cawangan Khas yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara.

Namun, Samsuri tetap mempertahankan dakwaannya, merujuk kepada satu gambar yang tular di media sosial menunjukkan dia duduk di kawasan yang diasingkan, bersama telefon dan bagasi di sisi.

Samsuri berkata gambar itu berkemungkinan diambil oleh orang awam ketika sedang “ditahan” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 7 April.

Ulasan